Tragedi tak kira tempat

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Adik harap semuanya berada dalam keadaan sihat. Bagi yang merancang untuk pulang ke Kuala Lumpur atau mana-mana destinasi selepas bercuti panjang sempena Tahun Baru Cina, hati-hati memandu kereta.

Kalau mengantuk atau penat, boleh cari R&R berdekatan dan ambil masa untuk tidur sebentar. Maklumlah, dengan keadaan jalan raya yang sesak, apa sahaja boleh berlaku. Bak kata orang tua, malang tak berbau.

Bercakap mengenai malang tak berbau, adik terpanggil untuk menulis mengenai dua tragedi yang menggemparkan negara pada minggu ini. Satu daripadanya mengenai kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tuaku Abd Rahman, Gemas, Negeri Sembilan iaitu adik Nur Afini Roslan yang terkena bilah pemotong rumput sewaktu menjalani latihan kawad.

Luluh hati adik membaca berita itu. Adik tidak dapat bayangkan perasaan ibu bapa, guru dan rakan arwah sewaktu menerima berita insiden berkenaan. Bayangkan seorang remaja yang sihat walafiat pergi begitu sahaja dalam sekelip mata.

Adik nak nasihatkan kepada semua, tak kira di mana pun kita berada, keselamatan perlu dititikberatkan. Mungkin kita rasakan sekolah antara tempat paling selamat selain rumah sendiri. Tetapi, tanpa kita sedari, kemalangan atau perkara yang tidak diingini boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Dalam masa sama, adik juga nak mengingatkan semua supaya menghormati keluarga arwah dengan tidak menyebarkan gambar sewaktu kemalangan berlaku. Pilu jiwa kita melihat keadaan arwah, pilu lagi keadaan ibu dan bapa Afini melihat gambar anaknya dikongsi dan disebarkan untuk tontonan khalayak.

Pada hari sama, kita dikejutkan dengan berita bangunan KWSP yang terletak di Jalan Gasing, Petaling Jaya terbakar sewaktu pekerja dalam premis berusia 58 tahun itu sibuk menjalankan rutin kerja masing-masing.

Kalau melihat pada video yang dikongsi beberapa portal berita tempatan, kebakaran itu teruk. Namun, apabila membaca laporan selepas kebakaran dipadamkan, hanya bahagian luar bangunan yang terjejas teruk kerana ia dipercayai berlaku akibat penebat polyfoam yang dikatakan mudah terbakar.

Adik berasa sedikit lega apabila semua pekerja dalam bangunan itu selamat. Syukur. Semoga operasi KWSP berjalan seperti biasa selepas bangunan dibaik pulih kelak.

Dua kejadian yang adik nukilkan hari ini memberi perspektif berbeza terhadap pentingnya keselamatan kita di tempat awam.

Harap tragedi kebakaran bangunan KWSP menjadi peringatan kepada semua untuk lebih berwaspada. Apa yang adik boleh cadangkan, mungkin pemeriksaan berkala boleh dijalankan pada struktur bangunan supaya kejadian seperti ini dapat dielakkan.

Dan, untuk keluarga arwah Afini, takziah adik ucapkan. Adik faham, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Harap mereka sabar dan tabah menerima ketentuan Ilahi.

Adik akhiri catatan minggu ini dengan surah Al-Fatihah untuk arwah Afini. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan ahli syurga dan kekasih Allah SWT. #MalangTidakBerbau
Tragedi tak kira tempat Tragedi tak kira tempat Reviewed by Kakigosip on 06:17:00 Rating: 5
Powered by Blogger.