Tiada penyingkiran, 16 peserta Bintang RTM selamat

SEMUA peserta Bintang RTM selamat ekoran tiada penyingkiran pada minggu pertama Konsert 16 Bintang yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, kedudukan enam peserta iaitu Bea, Eyka, Anna, Yasser, Yasmin dan Uno berada dalam keadaan ‘bahaya’ kerana markah terendah.

Peserta lain yang terlibat ialah Rusil, Ajoi, Firdaus, Yuveena, Ferona, Herman, Hafiz, Heidi, Dee dan Hariz.

Untuk minggu pertama, setiap peserta dibahagikan kepada empat kumpulan dan diminta menyanyi bersama-sama.

Mereka diadili sepenuhnya oleh juri profesional yang terdiri daripada Adibah Noor, Datuk Syafinaz Selamat dan AG Coco.

Hasilnya, semua juri berpendapat setiap peserta Bintang RTM berjaya menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

Malah, ada peserta mendapat markah tinggi dengan persembahan yang cukup bertenaga sekali gus menampilkan persaingan hebat.

Justeru, juri merasakan peluang kedua harus diberi kepada mereka untuk persembahan solo pula.

Bintang RTM 2018 turut memperkenalkan barisan tenaga pengajar yang terdiri daripada Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie (guru persembahan), Syafinaz (guru vokal), Alam Wakaka (guru tari) dan Atilia Haron (guru kecergasan).

Konsert alumni

Selain itu, Konsert 16 Bintang merupakan konsert alumni bagi produk kelahiran RTM.

Terdapat dua segmen yang dibawakan iaitu Juara-juara Bintang RTM dan Tak Menang Tapi Popular.

Segmen Juara-juara Bintang RTM menampilkan barisan artis popular yang pernah menjuarai pertandingan anjuran RTM satu ketika dahulu.

Mereka yang membuat persembahan ialah Rosario Ninih Chamini Bianis (Juara Bintang RTM 2016), Ernie Zakri (Juara Bntang RTM 2009), Liza Hanim (Juara Penghibur HMI 1999), Datin Alyah (Juara Bintang HMI 2000), Azharina Azhar (Juara Bintang RTM 2001) dan Ramlah Ram (Juara Bintang RTM 1985).

Bagi segmen Tak Menang Tapi Popular pula membariskan artis tanah air kelahiran RTM yang bukan juara tetapi masih kekal relevan di dalam industri.

Pada masa sama, mereka juga mempunyai cerita tersendiri dalam karier seni seperti Ayai Illusi (finalis Bintang RTM 1986), Azian Mazwan Sapuwan (finalis Bintang RTM 1985), Zahid (finalis Bintang RTM 2000) dan Azam Pitt (finalis Bintang RTM 2009).

Konsert 16 Bintang dikendalikan Aqasha dan Misha Omar serta turut disiarkan secara langsung menerusi TV2 pada setiap Sabtu, jam 8.30 hingga 10.30 malam.

Ia juga boleh diikuti secara dalam talian menerusi RTM mobile dan Facebook Hiburan TV RTM.
Tiada penyingkiran, 16 peserta Bintang RTM selamat Tiada penyingkiran, 16 peserta Bintang RTM selamat Reviewed by Kakigosip on 06:06:00 Rating: 5
Powered by Blogger.