Terkejut, bagaikan bermimpi

Terkejut dan masih bermimpi, menurut Arif, pujian itu satu penghormatan buat mereka apalagi band berkenaan memperjuangkan muzik indie dan masih terlalu baru.

“Sebaik kami mendapat tahu Noh kongsikan video muzik itu di media sosial, terus terang, kami sangat terkejut. Apatah lagi selama ini kami sendiri memang sangat meminati dan menyanjung band Hujan.

“Keterujaan itu lebih terasa apabila melihat Faizal Tahir juga meninggalkan komen di Instagram kami. Kami bagaikan bermimpi sedangkan ia benar-benar berlaku,” katanya.

Impak lagu Lovesick juga ternyata membuka dimensi baru dalam perjalanan muzik band itu. Pengikut Midnight Fusic semakin bertambah selepas jatuh cinta dengan konsep keseluruhan lagu terbabit.

Sekali gus, ia memberikan kelegaan kepada mereka lantaran idea yang dicurahkan tidak sia-sia. Meskipun sesi suntingannya banyak dibantu oleh pasukan khas, bagi mereka pencapaian itu sesuatu yang harus menjadi penanda aras terbaik.

“Idea pembikinan video muzik Lovesick adalah 80 peratus idea kami. Kami sudah membayangkan apa yang diinginkan dan memastikan setiap inci pembikinannya dibuat dengan teliti.

“Kami sungguh berpuas hati dengan hasil akhir dan syukur begitu juga dirasai peminat. Boleh dikatakan ia memberi kami satu kepuasan yang maksimum memandangkan hasilnya berbaloi dengan keringat dicurahkan.

“Terima kasih juga kepada pasukan yang melaksanakan pembikinannya dengan begitu teliti sekali. Kami percaya kreativiti menjadi faktor utama lagu serta video muzik terbabit berjaya menarik perhatian ramai,” katanya.

Kini memfokuskan penuh pada muzik, Midnight Fusic semakin rancak memenuhi jadual persembahan di sana sini. Untuk tahun ini saja, sudah beberapa acara dijayakan dan sedikit sebanyak memberikan mereka keyakinan beraksi depan ramai.

Bukan di Malaysia saja, nampaknya, perlahan-lahan peminat di luar negara termasuk Filipina, Indonesia dan Singapura mulai mengikuti band itu.

“Kami sangat bertuah kerana bukan saja peminat di sekitar Kuala Lumpur, namun, ada dari luar kawasan seperti Pulau Pinang dan Putrajaya sanggup datang melihat kami. Sokongan sebegitu sebenarnya sangat menggembirakan setiap kali membuat persembahan.

“Sekali gus, ia membakar semangat kami untuk tampil lebih berseronok di pentas demi menghiburkan mereka. Tidak dinafikan, memang perasaan gementar itu masih ada namun kami cuba sedaya-upaya tidak memikirkannya,” kata Arif.

Selain terus memenuhi undangan persembahan, Midnight Fusic juga akan cuba mengembangkan karier di negara seberang iaitu Indonesia pula.

Bakal berkunjung ke sana pada bulan hadapan, mereka berhasrat mencari ruang membuat promosi di negara itu.

“Tujuan utama kami ke sana sebenarnya untuk merakamkan album mini yang bakal dilancarkan pada April nanti. Bagaimanapun, kami semestinya akan mencari peluang untuk membuat persembahan jika ada.

“Lagipun, sejak kebelakangan ini kami mula dibanjiri mesej daripada peminat dari negara itu. Rugi kiranya jika tidak menggunakan kesempatan itu untuk bertemu mereka,” katanya.

Album mini Midnight Fusic yang dilancarkan April nanti itu bakal memuatkan lima lagu termasuk single pertama mereka Heart Of May, Lovesick dan tiga lagu baru.
Terkejut, bagaikan bermimpi Terkejut, bagaikan bermimpi Reviewed by Kakigosip on 05:19:00 Rating: 5
Powered by Blogger.