Tayangan Perdana Filem Lee Chong Wei dapat sambutan

KURANG sebulan sebelum tayangan perdana filem biografi, Lee Chong Wei, tiket kategori emas berharga RM168 sudah habis dijual.

Mereka yang hadir berpeluang menyaksikan versi tambahan berdurasi 133 minit yang memaparkan kisah perjuangan pemain badminton nombor satu negara ini.

Acara berkenaan akan diadakan pada jam 6.30 petang pada 9 Mac depan di Stadium Nasional, Kuala Lumpur.

Menerusi satu sidang media yang diadakan baru-baru ini, penyanyi yang sedang meningkat naik, Nabila Razali dan penyanyi sosial media, Priscilla Abby diumumkan sebagai penyanyi untuk lagu tema filem.

Mereka bakal mendendangkan lagu tema filem dalam bahasa Melayu dan Inggeris buat kali pertama secara langsung pada acara tayangan perdana dunia nanti.

Antara jemputan yang hadir untuk memeriahkan majlis tersebut ialah Datuk Rosyam Nor yang melakonkan watak Datuk Misbun Sidek dalam filem, Jake Eng (Chong Wei remaja), Tosh Chan (Chong Wei dewasa), Ashley Hua (Datin Wong Meow Choo) dan Agnes Lim (Lee Mei Ching).

Turut dilancarkan dalam sidang media tersebut adalah treler kedua filem ini.

Penganjur acara, Cb Pictures dan Sky Events turut mengumumkan bahawa tiket lain yang berharga RM88 (Dunia), RM108 (Gangsa) dan RM128 (Perak) masih boleh dibeli.

Acara Tayangan Perdana Sedunia Lee Chong Wei dijangka dihadiri 20,000 penonton dan bakal dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records serta Asia Book of Records, membabitkan tayangan menerusi layar gergasi LED berukuran 40 meter x 17 meter.
Tayangan Perdana Filem Lee Chong Wei dapat sambutan Tayangan Perdana Filem Lee Chong Wei dapat sambutan Reviewed by Kakigosip on 06:17:00 Rating: 5
Powered by Blogger.