Takut karya komedi syok sendiri: Zaharuddin Md Desa

MENGAKUI bukan mudah membuat orang ketawa, namun itulah pilihan Zaharuddin Md Desa.

Anak kelahiran Pendang, Kedah ini mahu lebih dikenali sebagai penulis skrip komedi.

Memilih komedi kerana merasakan genre itu belum menerima sambutan meluas selain terlalu ramai yang terlibat dengan genre ‘air mata’.

“Jadi, lebih baik saya fokus dalam genre ini berbanding menjadi sebahagian lambakan yang ada,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, Zaharuddin mengakui kerjayanya itu meninggalkan cabaran tersendiri kerana tidak mudah melakukannya.

"Lagi pun, saya takut bila karya komedi itu hanya bersifat syok sendiri. Ini kerana, karya yang bagus dapat membuatkan orang yang menontonnya ketawa. Jadi, apa yang saya buat, saya akan minta pandangan daripada sahabat rapat dan keluarga sebelum dihantar kepada pengarah dan penerbit.

“Tapi, kadang-kadang ia juga bergantung kepada nasib apatah lagi jika mendapat pengarah yang tak tahu susur galur komedi,” katanya.

Malah, kata Zaharuddin, penulis skrip juga perlu kreatif agar karya yang dihasilkan berjaya memikat penonton.

“Saya bersyukur kerana kebanyakan idea saya 'datang' sendiri. Kalau tak pun, saya akan meminta bantuan sahabat rapat dan keluarga. Tapi, biasanya, saya memang jenis happy-go-lucky. Dan kalau berborak-borak pun memang tak pandai serius. Selalu ada saja benda yang mengarut.

“Saya juga perlu elak menulis daripada apa yang biasa dilakukan oleh penulis lain,” katanya yang berharap setiap karya dinilai berdasarkan jalan cerita dan bukan kredibiliti penulis skrip.

Bermula kerana minat
Menyelak kembali pembabitan dalam bidang penulisan skrip, Zaharuddin mengakui semuanya bermula kerana minat.

“Saya memang minat. Dulu-dulu, masa kecil bila saya tengok TV, saya akan komen dan kata mampu buat dengan lebih baik lagi.

“Tapi, masa itu, saya tak tahu pula yang bidang ini menyediakan kursus tertentu. Saya ingat ia hanya bersandarkan bakat semata-mata,” katanya.

Pun begitu, peluang lulusan Diploma Teknologi Multimedia ini semakin cerah selepas mendapat didikan daripada pengarah filem terkenal, Datuk Zulkifli M Osman, kira-kira 10 tahun lalu.

“Kebetulan, saya berjumpa dengan Zulkifli selepas selesai menunaikan solat Jumaat. Ketika itu, saya masih bergelar penuntut dan saya ambil peluang itu  belajar secara tidak formal dengan dia,” katanya.

Tidak hanya itu, lelaki berusia 35 tahun ini mengambil inisiatif menghadiri kursus pelbagai agensi termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

“Tujuan saya menghadiri kursus untuk memantapkan lagi kaedah penulisan skrip.

“Selain itu, saya juga mahu membina jaringan dengan penulis skrip yang lain di dalam industri,” katanya.

Antara karya popular tulisan Zaharuddin ialah telefilem Mak Sanggup yang disiarkan pada 2012, Haji Tak Mabrur (2014), Abang Haji (2015). Awaklah Imam Saya (2016) dan Restu Ramadan (2017.

Zaharuddin juga baru saja tamat penggambaran telefilem Baju Raya Eksklusif  untuk TV3.
Takut karya komedi syok sendiri: Zaharuddin Md Desa Takut karya komedi syok sendiri: Zaharuddin Md Desa Reviewed by Kakigosip on 06:11:00 Rating: 5
Powered by Blogger.