Tak mainlah publisiti murahan!

Tidak dinafikan ada segelintir artis yang sengaja mencipa kontroversi semata-mata untuk kekal relevan dalam industri hiburan.

Malah, lebih teruk lagi isu dibangkitkan untuk menarik perhatian orang ramai terhadapnya yang boleh diibaratkan hidup segan mati tak mahu.

Namun, lain orang lain cara dan pendekatkannya.

Bagi pelakon kacak kelahiran Singapura, Hisyam Hamid, 33, dia tidak sanggup mengorbankan maruah diri demi populariti.

“Kalau seseorang sengaja buat kontroversi rasanya bukan perkara sihat. Apatah lagi kalau perkara itu diitimbulkan semata-mata untuk mendapatkan perhatian dan kekal relevan. Bagi saya, cara sebegini tidak boleh buatkan seseorang bertahan dan kekal lama.

“Apa yang lebih penting adalah mutu lakonan dan cara pembawaan diri. Ia lebih penting untuk kekal dalam industri. Bukan apa, nanti orang hanya mengata dan label kita ada dalam bidang ini disebabkan kontroversi saja.

“Prinsip saya mudah iaitu nak lebihkan kualiti daripada kuantiti. Asah bakat jadi lebih bagus supaya lakonan pun nampak semula jadi,” katanya.

Bagaimanapun, Hisyam yang sudah empat tahun berada dalam industri hiburan tempatan akui pernah diminta untuk mencipta kontroversi supaya namanya terus dikenali.

Namun, Hisyam yang popular menerusi drama Papa Sayang Saya Tak? tidak mudah terpengaruh dengan anasir negatif kerana memikirkan niat asal ke sini adalah untuk mencari rezeki.

“Dahulu ketika saya baru bertapak di Malaysia, ada pihak mencadangkan mencipta gosip atau kontroversi. Katanya, dengan cara itu orang boleh terus mengenali saya. Namun, saya masih waras dan menolak.

“Sampai sekarang mereka faham cara saya macam mana. Saya bukan seorang yang suka buat perkara mengarut yang boleh menjatuhkan nama dan maruah sendiri. Saya memang tak layan perkara tidak senonoh semua ini. Kalau betul ingin cepat naik, bukan ini cara terbaik,” katanya.

Gementar jadi pengacara

Bercerita mengenai kerjaya seninya, Hisyam kini melebarkan sayapnya dalam bidang pengacaraan apabila terbabit dalam sebuah program berbentuk fesyen yang bakal ditayangkan di sebuah stesen televisyen.

“Kalau nak tanya perasaan, sudah tentu saya teruja. Namun, pada masa sama, saya gementar kerana ini penampilan sulung sebagai pengacara. Tanggungjawab diberikan sangat besar apatah lagi saya mengacara seorang diri.

“Dahulu saya pernah menyatakan keinginan untuk mencuba bidang ini, tetapi tidak menyangka pula ia datang secepat ini. Bagaimanapun, saya anggap ia rezeki dan peluang ini tidak datang selalu. Kalau bukan sekarang, bila lagi saya nak buat dan tonjolkan bakat?,” katanya.

Menurut Hisyam, antara sebab yang membuatkan dia bersetuju terbabit dalam projek itu kerana ia program pertama seumpamanya di Malaysia.

“Kalau diberi pilihan saya ingin mengacara program kanak-kanak atau aktiviti lasak. Namun, apabila diberitahu konsep program ini dan mereka meminta datang untuk uji bakat, saya okey.

“Pada masa sama, program itu menjalani rakaman dan bukannya secara langsung. Jadi, saya terima cabaran itu. Saya juga bertanya kenapa tidak menggunakan pengacara sedia ada, jawapan diberikan mereka inginkan wajah baru,” katanya.

Apa yang pasti, Hisyam juga sudah bersedia menerima segala maklum balas positif atau negatif serta kritikan daripada penonton.

Dalam perkembangan lain, Hisyam juga baru selesai menjalani penggambaran filem seram, The Legend of Pontianak bersama Remy Ishak, Tony Eusof dan Fazura.

Terbaru, Hisyam bakal terbabit dalam drama bersiri lakonan bersama Mira Filzah yang dijangka memulakan penggambaran pada Mac ini.

“Buat masa sekarang judul drama Love Is You yang bakal ditayangkan pada Ramadan ini, tetapi tajuk belum pasti kerana ingin ditukar ke bahasa Malaysia.

“Berlakon dengan heroin berbeza bagus kerana ia lebih segar. Disebabkan penonton tak pernah nampak sebelum ini, jadi orang tidak boleh jangkakan keserasian. Bagi saya, berlakon dengan dengan heroin berbeza satu pembaharuan. Orang pun nampak sesuatu yang baru,” katanya.
Tak mainlah publisiti murahan! Tak mainlah publisiti murahan! Reviewed by Kakigosip on 06:29:00 Rating: 5
Powered by Blogger.