Tabiat Buruk Sejak Remaja, Fadlan Hazim Perlu Jalani Pembedahan

PELAKON Fadlan Hazim memaklumkan dia bakal menjalani pembedahan membuang tonsil di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 13 Februari ini gara-gara tabiat buruk iaitu merokok.

Fadlan, 26, berkata, dia perlu menjalani pembedahan itu secepat mungkin kerana penyakit tersebut sering menganggu aktiviti hariannya.

"Dalam setahun beberapa kali saya ditahan di hospital kerana selalu demam dan pernah berlaku kejadian saya pengsan di set penggambaran.


"Doktor sahkan saya ada tonsil sejak tahun 2014 lagi dan perlu menjalani pembedahan secepat mungkin agar ia tidak mengganggu aktiviti harian saya.

"Doakan pembedahan saya dipermudahkan dan semuanya baik seperti sedia kala. Insya-Allah selepas ini saya boleh bekerja seperti biasa," katanya .

Fadlan ditemui semasa sidang media Drama Festival Kuala Lumpur 2018 (DFKL 2018) di Nate Bistro, Subang, Selangor, baru-baru ini.


Sementara itu, Fadlan berkata punca dia menghidap penyakit tersebut adalah kerana mengamalkan gaya hidup tidak sihat dan mengabaikan mengenai penjagaan tubuh.

"Saya merokok sejak usia masih muda lagi dan itulah puncanya. Mungkin terlalu kerap merokok menyebabkan tonsil saya menjadi lebih parah.

"Alhamdulillah, sudah setahun saya berhenti merokok. Tapi iyalah, benda dah nak jadi, tonsil itu masih ada dan perlu dibuang," ujarnya.


Dalam pada itu, Fadlan memberitahu dia kini lebih banyak menghabiskan masa dengan bersukan dan bersenam di gimnasium.

Ujar hero drama Papa Ricky ini, dia mula sedar mengenai kepentingan menjaga kesihatan diri dan mengawal pemakanan.

"Kalau nak hilangkan tekanan, saya selalunya berkunjung ke gim dan mesti buat senaman ringan untuk keluarkan peluh.

"Semenjak mengamalkan gaya hidup sihat, badan saya lebih ringan dan emosi lebih stabil," kata pelakon drama Tak Ada Cinta Sepertimu ini.
Tabiat Buruk Sejak Remaja, Fadlan Hazim Perlu Jalani Pembedahan Tabiat Buruk Sejak Remaja, Fadlan Hazim Perlu Jalani Pembedahan Reviewed by Kakigosip on 05:27:00 Rating: 5
Powered by Blogger.