Sweet Table bukan campak makanan: Fazley Yaakob

BIARPUN dikecam, hidangan unik Sweet Table yang ditampilkan chef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, menerima sambutan hangat.

Malah, selebriti berusia 40 tahun ini mengakui tidak menang tangan dalam menerima tempahan untuk restorannya, SukaSucre Bistro.

"Saya buka booking untuk konsep ini bermula minggu depan.

"Tapi, nampaknya saya perlu aturkan semula kerana mendapat permintaan tinggi.

"Jadi saya mahu mengucapkan jutaan terima kasih kerana secara tak langsung kecaman itu memberikan publisiti percuma," katanya pada Sinar Harian.

Sebelum itu, tular video mengenai kaedah juara MasterChef Selebriti Malaysia ini menyediakan hidangan Sweet Table bagi meraikan sambutan ulang tahun kelahiran adiknya, Raf Yaakob.

Bukan itu sahaja, rata-rata pengikut dan peminatnya di laman sosial turut kagum dan memuji kreativitinya.

Bagaimanapun, ada juga sebilangan netizen yang bertindak mengecamnya kerana dikatakan tindakan tersebut kurang sopan lantaran 'mencampak' beberapa makanan di atas meja.

"Sebenarnya, ia bukan mencampak makanan tapi konsep Sweet Table memang seperti itu. Itulah kelainannya.

"Ia bukan disediakan di atas pinggan sebaliknya dihidangkan di atas meja besar dengan kapasiti minimum enam orang.

"Dan... konsep ini sebenarnya dah lama dibuat di luar negara seperti di Amerika Syarikat (AS) dan London, tapi ia adalah baru di sini," katanya.

Tambahnya lagi, kebanyakan netizen yang mengecam konsep tersebut mungkin kerana tidak memahami atau mempunyai pengalaman dalam bidang kulinari serta menolak untuk menerima pembaharuan.

"Saya rasa mana yang tak faham konsep dan tak buat research dan tak ada pengalaman bagaimana dessert itu dilakukan, mungkin mereka akan mengecam.

"Kalau tengok di luar negara, mereka sampai ada pecahkan coklat di atas meja bahkan lambung dari atas ke meja," katanya.

Pada masa sama, Fazley turut mempunyai pandangan tersendiri terhadap masyarakat tempatan.

"Saya melihat orang Malaysia ini ada dua bahagian, iaitu satu yang menyokong dan boleh terima pembaharuan.

"Dan...satu bahagian lagi, yang memang tak boleh terima pembaharuan dan lihat ia sebagai satu perkara yang tak 'cantik' atau sebagainya," katanya.

Pun begitu, pelantun lagu Kerna Asmara ini mengakui tidak berkecil hati sebaliknya memandang setiap kecaman tersebut daripada sudut positif.

"Sama ada mereka setuju atau tak, saya tetap on. Pada saya, apa yang saya lampirkan ini adalah pengalaman.

"Dan...Kalau ada yang rasa saya masih belum cukup bagus, saya 'membuka tangan' untuk menjadi pelajar mereka," katanya.
Sweet Table bukan campak makanan: Fazley Yaakob Sweet Table bukan campak makanan: Fazley Yaakob Reviewed by Kakigosip on 04:17:00 Rating: 5
Powered by Blogger.