Siti Zubaidah dalam monodrama

Peminat filem Melayu klasik tentunya tahu mengenai karya berjudul Siti Zubaidah dibintangi Datuk Maria Menado, Nordin Ahmad, Siput Sarawak, M Amin, Rose Yatimah dan ramai lagi yang dihasilkan pada 1961.

Filem ini menceritakan pertemuan Sultan Zainal Abidin dengan seorang gadis yang memiliki suara lunak ketika berhenti di sebuah pulau semasa dalam pelayaran.

Baginda tertarik dengan suara dan wajah gadis berkenaan. Apabila mengetahui gadis itu anak kepada penghulu pulau yang disinggahinya, Sultan Zainal Abidin memohon keizinan untuk menyunting anak penghulu itu sebagai permaisurinya.

Selain filem, Siti Zubaidah juga dipentaskan dalam bentuk opera dan teater yang turut mendapat sambutan hangat penonton.

Terbaru, karya klasik manuskrip Melayu lama dari abad ke-19 ini dipentaskan pula dalam bentuk monodrama.

‘Siti Zubaidah Sebuah Monodrama’ arahan Dr Marlenny Deenerwan dipentaskan di Galeri Petronas, Suria KLCC pada 3 dan 4 Februari lalu menerima sambutan hebat daripada peminat.

Lokasi ini secara mendadak menerima limpahan penonton yang teruja menonton persembahan yang ditampilkan. Apatah lagi, Dr Lenny bukan calang-calang kerana bertugas sebagai pensyarah yang juga Ketua Jabatan Drama Universiti Malaya.

Sesuai dengan konsepnya, persembahan ini hanya membabitkan seorang pelakon wanita yang membawakan pelbagai watak dalam ‘Siti Zubaidah Sebuah Monodrama’.

Monolog ini berkisarkan pengembaraan seorang wanita (Siti Zubaidah) yang menempuh pelbagai cabaran untuk membebaskan suaminya, Sultan Zainal Abidin, yang ditawan puteri dari China.

Keberanian Siti Zubaidah dan cintanya yang mendalam terhadap Sultan Zainal Abidin memberikannya kekuatan bagi memenangi peperangan. Dia akhirnya mendedahkan diri sebenar kepada Sultan Zainal Abidin dan kembali ke Kembayat Negara untuk bersatu dengan anak mereka.

Persembahan dimulakan dengan pengenalan Syair Siti Zubaidah yang dilagukan oleh Nisah Haron dan kemudiannya disusuli dengan persembahan monodrama oleh Bahiyah Aminuddin.

Dapat diperhatikan Dr Lenny menggabungkan elemen syair dan seni mempertahankan diri selain kekuatan lakonan, tarian dan nyanyian dalam persembahan ini.

Skrip persembahan pula mengangkat nilai puitis dan romantis yang terkandung dalam Syair Siti Zubaidah untuk dinikmati penonton. Konsep keseluruhan persembahan mengetengahkan teknik ‘Lecture Performance’.

Menerusi persembahan selama 45 minit ini, Dr Lenny dibantu Mohd Andika Zainal sebagai kareografer, Muhamad Haris Arifin (peniup seruling), Norsyahidah Pauzi (produksi dan pengurus pentas), Norhan Fahmi Rayza (kostum/solekan/pakaian) dan Mohd Nasir Ayob (pengurus teknikal).

Dr Lenny menghasilkan skrip dalam tempoh kurang sebulan sebaik dihubungi Galeri Petronas pada hujung Disember lalu untuk mementaskan Syair Siti Zubaidah bersempena Pameran Alegori yang diadakan mulai 14 November.

Dia mengakui bukan kerja mudah mengadaptasi karya terkenal dalam bidang kesusasteraan Melayu ke dalam bentuk monodrama kerana banyak aspek perlu diteliti terutama meringkaskan jalan cerita daripada sebuah syair yang mengandungi 3,736 rangkap.

“Cabaran juga dilalui untuk mencari pelakon yang boleh menghayati watak Siti Zubaidah kerana memerlukan seseorang yang mahir bersyair, menyanyi dan bersilat. Dalam pada itu, beberapa pelakon yang diidamkan pula sibuk dengan pementasan lain.

“Saya akhirnya nekad memberikan kepercayaan kepada bekas pelajar saya, Bahiyah untuk menjadi teraju utama pementasan ini,” katanya.

Biarpun latihan hanya dijalankan dua minggu berbanding masa sebenar yang diperlukan iaitu sebulan, Dr Lenny amat berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan Bahiyah.
Siti Zubaidah dalam monodrama Siti Zubaidah dalam monodrama Reviewed by Kakigosip on 05:26:00 Rating: 5
Powered by Blogger.