Sissy Iman di sebalik Jampi Hael Husaini

DI sebalik kejayaan lagu Jampi nyanyian Hael Husaini di Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32), mungkin ramai yang tidak menyedari penglibatan penyanyi Sissy Iman dalam persembahan tersebut.

Bukan sebagai penyanyi latar atau kemunculan istimewa untuk tujuan gimik, namun penyanyi  juga komposer muda berbakat besar ini tampil bermain piano mengiringi persembahan lagu yang diangkat sebagai juara itu.

Menurut Sissy, penglibatan itu merupakan kolaborasi pertamanya dengan Hael di mana sebelum ini mereka pernah merancang untuk mengadakan satu projek lain, namun hanya menjadi kenyataan di AJL32.

“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan lagu Jampi diangkat sebagai juara AJL32. Biarpun hanya membantu menerusi alunan piano yang dimainkan, Sissy tumpang gembira dan bangga menjadi sebahagian daripada persembahan tersebut.

“Sissy sangat gementar ketika itu kerana persembahan tersebut bermula daripada piano Sissy. Jika Sissy buat salah, memang akan beri kesan kepada orang lain dalam persembahan itu, dan disebabkan itu Sissy membuat persiapan yang cukup lama untuk persembahan ini.

“Selalunya Sissy berada di pentas untuk menyanyi sahaja, namun kali berbeza apabila peranan Sissy sebagai salah seorang pemuzik yang turut bertanggungjawab dalam gubahan muzik untuk pembukaan persembahan tersebut,” kata Sissy yang bakal muncul dengan projek terbaru bersama Hael tidak lama lagi.

Sissy yang mula dikenali menerusi lagu Mungkin Kamu ini juga mengharapkan agar pengalaman yang dilalui menerusi AJL32 ini dapat menjadi motivasi terbesar buat dirinya untuk tampil di pentas yang sama dengan lagu sendiri pula nanti.

Masih dengan identiti muziknya yang tersendiri, Sissy yang sebelum ini tampil dengan beberapa single hits, tampil dengan buah tangan terbarunya, Jatuh yang juga merupakan OST drama Papa Anak Menantu yang kini sedang hangat disiarkan di  TV3.

“Jatuh merupakan lagu ciptaan Sissy sepenuhnya dan telah dilancarkan hujung tahun lalu dan alhamdulillah mendapat sambutan yang cukup baik daripada peminat.

“Apatah lagi ia turut menjadi OST drama Papa Anak menantu yang kini sedang bersiaran di TV3, menjadikan lagi ini mudah diingati peminat,” katanya.
Sissy Iman di sebalik Jampi Hael Husaini Sissy Iman di sebalik Jampi Hael Husaini Reviewed by Kakigosip on 05:34:00 Rating: 5
Powered by Blogger.