Sepasang Kurung Biru ada ceritanya...

PENYANYI dan komposer terkenal, Profesor Madya Khairil Johari Johar mendedahkan rahsia sebenar lagu popular Sepasang Kurung Biru bukan berkaitan kisah cintanya.

Menurut Khairil, 56, lirik lagu itu ditulis oleh penulis lirik terkenal, Habsah Hassan dan dia hanya berperanan menyiapkan melodi serta menyanyikannya sahaja.

“Alhamdulillah lagu itu berjaya menjadi antara lagu wajib setiap kali ketibaan Hari Raya. Tidak dinafikan apabila bertemu peminat, ada yang cuba mencungkil adakah liriknya berkaitan pengalaman hidup saya.

“Sebenarnya ketika aktif menyanyi pada 1986, syarikat rakaman EMI minta saya merakamkan lagu untuk album Hari Raya.

“Mereka menyerahkan liriknya dan selepas mendalaminya, timbul ilham untuk saya menghasilkan melodi lagu ini,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, lirik tulisan Habsah terlalu indah membuatkannya dia perlu mencari masa terbaik mencipta melodinya.

“Saya sebenarnya tidak kenal dan tidak pernah berjumpa Habsah ketika itu. Saya mula mencipta melodi hanya menggunakan gitar selepas bersahur.

“Hendak menggunakan piano takut menganggu jiran-jiran lain. Apabila siap, penerbitnya Fauzi Marzuki sangat berpuashati dan meletakkan sasaran lagu ini bakal meletup dan ternyata kata-katanya benar,” katanya.

Khairil pencipta lagu Terbang Helang nyanyian Allahyarham Datuk Sharifah Aini mengakui populariti Sepasang Kurung Biru berjaya mengekalkan namanya di persada seni tanah air.

“Selepas menghasilkan dua album iaitu Engkau dan Kenapa Aku Hanya Kawan, saya ke Amerika Syarikat untuk menyambung pengajian.

“Sebaik pulang saya terus terikat dengan karier sebagai pensyarah muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan sukar nak menyanyi.

“Sekarang sudah bersara dan ini masanya kembali menyanyi dengan menghasilkan single berjudul Aku Hanya Membisu,” katanya.

Khairil berkata, melodi lagu itu mempunyai persamaan dengan Sepasang Kurung Biru dan dia percaya mampu diterima oleh peminat semua generasi.
Sepasang Kurung Biru ada ceritanya... Sepasang Kurung Biru ada ceritanya... Reviewed by Kakigosip on 05:58:00 Rating: 5
Powered by Blogger.