'Seorang pun saya hargai'

PENYANYI terkenal dengan lagu duet berjudul Kekanda Adinda, Atilia Haron tidak pernah menjadikan jumlah peminat mahupun populariti sebagai kayu pengukur kejayaannya sebagai anak seni.

Kata wanita mencintai irama jazz itu, dia menceburi bidang seni suara bukan kerana mengejar glamor mahupun mengimpikan bayaran tinggi dalam setiap persembahannya.

“Jumlah peminat saya mungkin tidak mencecah ribuan orang seperti penyanyi lain. Tetapi merekalah yang ada bersama-sama saya sejak album pertama berjudul Sangkar sehingga sekarang.

“Mereka setia memberi sokongan, menghargai dan tahu menilai kualiti lagu membuatkan saya cukup berpuas hati.

“Walaupun tidak menerima bayaran tinggi, saya gembira melihat peminat terhibur dengan persembahan saya,” kata Atilia, anak penyanyi veteran, Salamiah Hassan.

Lebih menggembirakan apabila ada dalam kalangan ahli muzik memuji lagu yang dihasilkan sangat bagus dan bermutu.

“Apabila ada ahli muzik datang dan mengucapkan tahniah serta memuji lagu saya bagus, saya yakin bahawa single berkenaan memang berkualiti.

“Dalam dunia nyanyian, saya tidak mengejar kuantiti peminat. Kalau ada seorang sahaja yang menghargai lagu saya pun, itu sudah cukup. Saya sudah berusia 44 tahun, walaupun tidak meletup tetapi saya ada dalam industri, ” kata Atilia.
'Seorang pun saya hargai' 'Seorang pun saya hargai' Reviewed by Kakigosip on 05:55:00 Rating: 5
Powered by Blogger.