Sekali pun jadilah!

Selepas lapan tahun mempertaruhkan bakat dalam bidang lakonan belum cukup meletakkan nama Josiah Hogan sebaris pelakon popular lain.

Perjalanan kerjaya jejaka berusia 32 tahun ini agak perlahan walaupun tawaran berlakon sentiasa ada.

Ada yang menyedari kehadirannya, namun lebih ramai tidak mengenalinya.

Menurut Josiah, ramai mula bertanya dengannya sama ada dia masih berlakon atau tidak.

“Saya memang masih berlakon. Boleh dikatakan ada saja tawaran yang datang. Bagaimanapun, saya akui ia masih tidak cukup untuk membuka mata peminat lebih mengenali saya.

“Paling menyedihkan apabila ramai yang ingat saya sudah tidak berlakon. Apabila berjumpa saya, mereka akan bertanyakan kenapa sudah lama tidak kelihatan di TV? Namun, saya sebenarnya ada saja,” katanya.

Josiah mengakui agak sukar untuk menembusi pasaran berikutan kurang membintangi slot drama TV yang popular.

Menurutnya, dia bukan merungut, cuma dia tidak diberi peluang membuktikan kebolehan melakonkan watak utama.

Alasan yang sering diterimanya ialah wajahnya tidak sesuai dengan watak diinginkan syarikat produksi.

“Bukan sekali dua, tetapi berkali-kali saya dapat alasan begitu yang sekali gus mengecilkan lagi ruang untuk saya melebarkan sayap. Walaupun berdarah kacukan, saya tetap Islam, berjiwa Melayu dan memang fasih bertutur dalam bahasa Malaysia sejak kecil.

“Namun, entah kenapa kepercayaan itu tidak diberikan kepada saya sedangkan niat saya sama saja dengan pelakon lain. Tahun lalu saya pernah kehilangan lebih 90 peratus tawaran berlakon dengan alasan tidak sesuai dengan watak diberikan,” katanya.

Menurutnya, dia akur jika namanya tidak mampu menaikkan rating drama. Namun, dia meminta semua pihak terutama stesen TV membuka peluang untuk namanya dipilih menerajui watak utama.

“Bukan menuding jari kepada mana-mana pihak, cuma saya tidak faham kenapa nama sering tidak lepas apabila diusulkan kepada stesen TV. Sudah beberapa tahun perkara ini berlaku kepada saya.

“Secara tidak langsung, ia sebenarnya menjadi punca nama saya kurang menyerlah. Saya sendiri sentiasa ternanti-nanti peluang itu, tetapi nampaknya belum ada rezeki.

“Saya harap diberi peluang sekurang-kurangnya sekali dapat memegang watak utama. Jika memang drama itu nanti tidak boleh pergi disebabkan saya, saya akur dan terima hakikat itu,” katanya.

Dalam pada itu, dia bersyukur mengenai perkara babitkan tawaran daripada sebuah syarikat produksi di Amerika Syarikat (AS) sebelum ini yang berakhir tanpa khabar berita.

Menurutnya, dia lega namanya tidak dipilih selepas mengetahui latar belakang mengenai syarikat produksi itu.

“Saya mendapat tahu daripada kenalan yang turut mencuba nasib uji bakat untuk filem itu. Rupa-rupanya ada cerita tidak enak di sebalik syarikat itu selain penggambarannya seakan-akan tergendala.

“Ia hikmah buat saya tetapi tetap tidak berhenti berharap suatu hari nanti akan ada tawaran lebih baik dari AS,” katanya.
Sekali pun jadilah! Sekali pun jadilah! Reviewed by Kakigosip on 05:50:00 Rating: 5
Powered by Blogger.