Saya ok, dah rasa...

PENYANYI dan penggubah lagu, Aizat Amdan menganggap ketiadaan lagunya bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32) perkara biasa.

Walaupun ramai peminat yang mengharapkan lagu ciptaan dan nyanyiannya, Jangan Menangis tersenarai dalam calon akhir AJL32, Aizat bagaimanapun tidak menyimpan rasa kecewa.

"Apa yang kita lihat di pentas AJL32 itu adalah perkara biasa. Industri muzik memang perlukan pelapis muda untuk terus mewarnai dunia seni.

"Saya tahu memang ada beberapa individu yang mengharapkan lagu saya iaitu Jangan Menangis tersenarai calon akhir tetapi saya tidak kecewa pun," katanya.


Kata penyanyi lagu Sungai Lui itu, dia berbesar hati dan gembira kerana diberikan kepercayaan menggalas tanggungjawab salah seorang juri pada AJL32.

"Saya gembira kerana dapat duduk bersama-sama otai dalam industri seperti Datuk Mokhzani Ismail, Datuk Wah Idris, Datuk Ramli Sarip dan Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah).

"Saya dipilih sebagai wakil orang muda. Memang rasa gementar apabila bersama-sama dengan orang hebat dalam industri," katanya.

Pada 2009, Aizat pernah merasai manisnya kemenangan di pentas AJL24 apabila lagu Pergi dinobatkan sebagai juara manakala single Kau Aku memenangi kategori Persembahan Terbaik.
Saya ok, dah rasa... Saya ok, dah rasa... Reviewed by Kakigosip on 13:32:00 Rating: 5
Powered by Blogger.