Ramai seronok tengok Awie, Erra

Berganding sebagai pengacara buat pertama kali, keletah pengacara gantian program MeleTOP, Datuk Awie dan Erra Fazira berjaya mencuri tumpuan penonton.

Menggantikan tempat pengacara utama apabila Nabil Ahmad dan Neelofa bercuti, pasangan yang pernah mencetuskan fenomena dalam industri hiburan pada era 1990-an itu begitu bersahaja mengendalikan program bual bicara hiburan popular di Malaysia itu.

Buktinya, ramai yang memuji gaya pengacaraan mereka, malah ada yang membuat permintaan untuk menyaksikan Awie dan Erra digandingkan lagi sebagai pengacara MeleTOP.

“Alhamdulillah, pihak penerbitan suka dan berpuas hati dengan penampilan saya. Saya juga sangat gembira dan terharu kerana pihak produksi memilih saya untuk mengendalikan program ini bersama Awie. Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan.

“Jika ditawarkan kembali saya sentiasa terbuka, tapi untuk menjadi pengacara sepenuh masa, rasanya tidak sesuai kerana program ini terlalu sinonim dengan Neelofa dan Nabil .

“Kalau setakat ganti untuk dua episod saya tiada masalah kerana program ini sangat menyeronokkan dan santai,” katanya.

Ditanya mengenai gandingannya dengan Awie pada program itu, Erra akui Awie seorang yang kelakar sehingga membuatkan penonton bergelak ketawa.

“Ketika dimaklumkan akan bergandingan dengan Awie, saya tidak mengambil masa lama untuk menerima lamaran itu kerana bekerja dengannya bukan perkara baru.

“Saya harap penonton berpuas hati dan terhibur pada malam itu ,” katanya.

Menurut Erra, tahun ini dia bercadang kembali aktif dalam bidang pengacaraan.

“Selain aktif berlakon tahun ini juga saya memasang impian untuk kembali cergas dalam dunia pengacaraan.

“Saya impikan untuk mengendalikan program bual bicara sendiri. Harap-harap impian ini akan tercapai tahun ini,” katanya.

Erra berkata, selepas mengacarakan program Primadona, dia teringin mengacarakan program bual bicara berkaitan dirinya.

“Jika sebelum ini saya mengacara program Primadona bersama Datuk Ziela Jalil, Raja Azura dan Rozita Che Wan, tapi alangkah seronoknya andai ditawarkan untuk mengacara program yang berkaitan diri sendiri.

“Dari situ, saya boleh berkongsi pengalaman sepanjang berkecimpung dalam bidang seni dan berkomunikasi dengan peminat secara langsung,” katanya.
Ramai seronok tengok Awie, Erra Ramai seronok tengok Awie, Erra Reviewed by Kakigosip on 13:25:00 Rating: 5
Powered by Blogger.