Punca putus tunang dirahsiakan: Bapa Elfira

PENAMAT kepada segala spekulasi yang bertebaran selepas berita putus tunang antara pelakon Elfira Loy dan Sufian Suhaimi disahkan ibu pelakon itu pada Sabtu, terkini keluarga Elfira  memaklumkan telah memulangkan cincin pertunangan kepada keluarga Sufian. 

Memetik laporan sebuah akhbar utama, bapa Elfira, Ahmad Sabri Ariffin, mengesahkan cincin pertunangan telah dipulangkan mengikut adat kepada keluarga Sufian pada Ahad, sekali gus menyatakan pertunangan tersebut telah putus secara rasmi. 

“Kami sekeluarga sudah membuat keputusan memutuskan tali pertunangan antara Elfira dan Sufian. 

“Apa yang boleh dikatakan antara anak saya dan dia (Sufian) tiada jodoh. Apa juga alasan atau sebab musabab lain itu tak perlulah ditulis kerana ia akan menyakitkan hati dan menyinggung perasaan orang lain. 

“Biarlah ia tersimpan erat dan hanya keluarga masing-masing saja tahu,” katanya kepada sebuah akhbar. 

Tambahnya lagi, proses pemulangan cincin tersebut mengambil sedikit masa kerana faktor kesesuaian masa antara kedua belah keluarga.   Malah menurutnya, proses tersebut dilakukan mengikut adat Melayu. 

“Proses penyerahan cincin berlangsung dengan adat Melayu tanpa ada syarat tambahan seperti majlis tunang Oktober lalu. 

“Baik keluarga saya dan keluarga Sufian menerima keputusan itu dengan terbuka. Kami masing-masing reda dengan apa yang sudah tertulis dan sepakat meneruskan hubungan baik tanpa perlu bermusuh,” katanya akur. 

Ahmad Sabri juga mengharapkan menerusi penjelasan tersebut, tiada lagi berita atau spekulasi berkenaan hubungan Elfira dan Sufian dibangkitkan demi menjaga hati semua pihak.
Punca putus tunang dirahsiakan: Bapa Elfira Punca putus tunang dirahsiakan: Bapa Elfira Reviewed by Kakigosip on 06:23:00 Rating: 5
Powered by Blogger.