Poey laris di Indonesia

Diam Poey Stings bukan kosong kerana dia ibarat diam-diam ubi berisi.

Penyanyi bernama sebenar Hasri Hashim ini kini sering berkelana ke negara jiran, Indonesia mengadakan persembahan.

Poey yang popular dengan lagu Dalam Diam Aku Menyintaimu dan Seandainya Tuhan Mengizinkan berkata, dia kerap diundang menjayakan persembahan di Dumai, Batam dan Kalimantan.

“Sebenarnya kita tahu artis kita susah diterima di Indonesia. Memang mereka kata buka pintu tapi ia sebenarnya tak berlaku.

“Jadi saya mulakan langkah dengan menjalin silaturahim dengan masyarakat di sana apabila menyertai persembahan sempena Himpunan Walikota Seluruh Indonesia ke-98 di Bukit Gelanggang, Dumai pada 2014.

“Selain saya, turut terbabit ialah Lan Gamma dan Zack Massa. Kami tak menerima sebarang bayaran untuk persembahan itu. Biarpun mulanya perlu menyanyi sekitar tiga lagu, saya menyampaikan lapan lagu yang turut dinyanyikan peminat di situ,” katanya.

Strategi ini membuahkan hasil kerana bermula dari situ, Poey terus diundang menyanyi di Batam, Tanjung Batu dan Kalimantan.

“Dalam tempoh tak sampai setahun, saya sudah tiga kali diundang menyanyi di Dumai dan Batam malah sambutan yang diterima amat menggalakkan.

“Saya turut diundang menyanyi pada majlis Ulang Tahun Kota Batam ke-86 dan 88 dan ia satu pengalaman yang manis,” katanya.

Pada masa sama, Poey turut menyambung pelajaran secara jarak jauh dengan mengambil Sarjana Ekonomi Islam di Institut Agama Islam Tafaqquh Fiddin (IAITF) Dumai.

“Saya diberi pengiktirafan sebagai sahabat institut ini. Gelaran untuk pelajar di sana ialah wisuda bagi lelaki dan wisudawati bagi wanita. Sesi pembelajaran dan tugasan dibuat menerusi e-mel.

“Saya baru selesai satu semester dan keseluruhan pembelajaran ialah lapan semester. Alang-alang ke sana baru-baru ini, saya turut ambil kesempatan buat persembahan yang ditonton lebih 5,000 peminat,” katanya.

Rezeki Poey di sana berterusan kerana sering diundang menjayakan persembahan anjuran Walikota (Datuk Bandar). Terbaru dia akan ke Daik dan Tanjung Pinang pula untuk mengadakan persembahan.

Poey pernah menghasilkan album mini berjudul Dalam Impian yang mengandungi tiga lagu iaitu Dalam Diam Aku Menyintaimu yang dihasilkan dalam bentuk orkestra, Cinta Ana ( Kisah Ali Baba) dan Impian Dalam Mimpi di bawah syarikat Poey Stings Production pada 2015.

“Lagu Impian Dalam Mimpi berkonsep balada rock ciptaan saya dan komposer Indonesia, Mayadis. Manakala lagu Cinta Ana (Ali Baba) ciptaan Nan Dengkil. Perlu ada lagu baru untuk memberitahu kami masih aktif dalam nyanyian.

“Lagu ini dibawa ke stesen radio tapi mereka selalunya memainkan lagu lama Stings. Saya ambil langkah jual sendiri CD ketika membuat persembahan terutama di kawasan pedalaman dan berjaya dijual sebanyak 10,000 keping,” katanya.

Menurutnya, masih ramai artis lama yang berkarya tapi sayangnya platform untuk mereka mengetengahkan karya seakan-akan tiada.

“Mujurlah Malaysia Hari Ini (MHI) sudi bagi peluang pada kami untuk muncul di TV. Stings juga masih aktif dan kekal dianggotai anggota asal iaitu Nuar (gitar), Awis (gitar), Jhon (bass) dan Jali (dram).

“Kami sedang berbincang buat konsert di Bandung pada tahun ini. Kami sudah ada penaja untuk konsert sebelum ini tapi ada masalah lain pula,” katanya yang akan merakam tiga single terbaru bersama kumpulannya.
Poey laris di Indonesia Poey laris di Indonesia Reviewed by Kakigosip on 13:22:00 Rating: 5
Powered by Blogger.