Pereka Fesyen Komen Pakaian Wany, Haqiem Macam Star Wars, Hero Drama India

KEHANGATAN Anugerah Juara Lagu Ke 32 (AJL32) bukan sahaja tertumpu pada persembahan namun fesyen selebriti turut menjadi perhatian utama.

Seperti biasa, media sosial menjadi medan untuk netizen meluahkan pendapat dan kritikan mereka.

Antara yang menjadi mangsa ialah penyanyi Wany Hasrita yang menggayakan busana merah mendapat pelbagai reaksi dan kecaman kerana ada yang mengatakan ia seperti pakaian Star Wars.

Namun menurut pereka fesyen, Mirol atau nama sebenarnya Mohd Amirul Md. Jonit, 27, bukan mudah untuk dia menghasilkan rekaan yang sesuai dan sopan buat penyanyi lagu Menahan Rindu itu.

Malah, dia hanya mereka busana mengikut kesesuaian dan keselesaan si pemakai bukan hanya sekadar tangkap muat atau mengikut kehendaknya sendiri.


"Untuk hasilkan busana itu saya mengambil masa yang lama. Bukan semudah yang disangka. Saya bukan sekadar reka untuk tangkap muat atau ikut suka hati.

"Baju itu direka mengikut kesesuaian lagu dan pemakai itu sendiri iaitu Wany. Apa yang penting busana itu masih sopan, menutup bahagian dada dan pinggulnya.

"Yang pasti, Wany selesa memakai busana itu dan pihak pengurusannya juga sukakan rekaan baju saya," kata Mirol.

Haqiem Rusli Macam Hero Drama India

Selain Wany, fesyen yang digayakan penyanyi Haqiem Rusli ketika membuat persembahan turut mendapat kritikan daripada pengarah drama, Michael Ang.

Menerusi laman Twitter, Michael mempersoalkan pakaian Haqiem yang seakan-akan hero drama India yang sedang membuat penggambaran di Malaysia.


"By the way siapa la stylish budak ni? Nyanyi ada orang sign language kat belakang, penyanyi pakai macam hero cerita India gengster yang shoot kat Malaysia tu. Salah konsep!" tulisnya.

Bagaimanapun, Mirol yang juga mereka busana Haqiem tidak ada masalah untuk menerima segala kritikan kerana menganggap setiap orang mempunyai pendapat sendiri.

"Setiap orang mempunyai pendapat masing-masing. Saya tak ada masalah dengan sesiapa yang mahu memberi kritikan.

"Sama juga macam Wany, Haqiem pun teruja untuk menggayakan baju itu," kata pemuda lepasan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang fesyen.



Pereka Fesyen Komen Pakaian Wany, Haqiem Macam Star Wars, Hero Drama India Pereka Fesyen Komen Pakaian Wany, Haqiem Macam Star Wars, Hero Drama India  Reviewed by Kakigosip on 05:34:00 Rating: 5
Powered by Blogger.