Penyeksaan buruh paksa

Perkataan Romusha dalam bahasa Jepun bermaksud ‘buruh’ dan ia dipilih sebagai tajuk filem sulung terbitan Fortitude Events Sdn Bhd.

Filem karya dan arahan Opie Zami ini sarat dengan emosi, air mata dan cinta.

Romusha bakal mengimbau semula kisah pahit buruh Landasan Kereta Api Maut Thailand-Burma ketika Perang Dunia Kedua pada 1942 hingga 1945 itu menyaksikan ramai buruh yang digunakan untuk membina landasan kereta api itu tanpa mengira bangsa.

Tiga penerbitnya iaitu Haqq Razak, Ismat Muhamad dan Al Firdaus Naing memilih naskhah karya Opie itu dengan harapan supaya kemunculannya nanti dapat mengembalikan kenangan penonton terhadap pengorbanan mereka yang terbabit dalam pembinaan landasan kereta api yang meragut banyak nyawa itu.

Penderitaan akibat penderaan tentera Jepun terus menjadi igauan ngeri hingga kini. Ada yang menyaksikan kematian rakan sendiri.

Haqq berkata, pengalaman mereka yang menjadi buruh paksa cukup menyeksakan. Kebanyakan buruh itu berjalan hingga ratusan kilometer dan mengambil masa berminggu-minggu untuk sampai ke kem penempatan mereka.

Mereka juga dipaksa bekerja 24 jam dan tidak boleh bercuti.

“Banyak lagi penderitaan mereka lalui yang terlalu sukar untuk kita gambarkan. Sebagai warga Malaysia, hargai keamanan yang kita nikmati hari ini dengan penuh kesedaran. Kemerdekaan negara ini tidak datang bergolek dan dalam sekelip mata,” katanya.

Haqq berkata, mereka amat tertarik dengan karya Opie ini dan menjadikannya buah tangan pertama Fortitude Events dalam dunia perfileman tanah air supaya dapat memberi manfaat kepada penonton.

“Walaupun Romusha berlatarkan cerita sejarah, kami juga berusaha memenuhi kehendak dan cita rasa penonton dengan menyelitkan unsur percintaan,” katanya.

Kesungguhan Haqq dan dua rakan kongsinya menerbitkan filem ini terbukti apabila mereka memperuntukkan kos yang besar untuk membina set pengambaran khas di Kampung Budu, Benta, Pahang.

“Kami mahu memberi gambaran sebenar kepada penonton. Syukur kami mendapat kerjasama yang cukup baik daripada penghulu dan penduduk kampung serta KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad).

“Penggambaran dilakukan pada November lalu dalam keadaan cuaca kurang menentu, namun segala kerja berjalan mengikut jadual dan tayangan filem ini dijangka pada tahun depan,” katanya.

Romusha mengisahkan Arwan (lakonan Shazwan Zulkifli) yang ditangkap tentera Jepun dan dibawa ke sempadan Thailand-Burma untuk dijadikan buruh paksa.

Tangkapan Arwan itu adalah misi rahsia dia bersama Kapten Patrick supaya dijadikan tahanan tentera Jepun dan dibawa ke sana.

Di sana dia berjumpa dan mengenali Nattalika (Jasmine Suraya Chin) yang bekerja sebagai jururawat di Kem Tahanan.

Daripada pertemuan itu berputik percintaan antara Arwan dan Nattalika lalu mereka merancang untuk lari dari Kem Tahanan itu bersama-sama.

Romusha turut memaparkan penderitaan dan pengorbanan generasi terdahulu yang diseksa dan dikerah menjadi buruh paksa oleh tentera Jepun.

Romusha turut dibintangi Datuk Rahim Razali, Dian P Ramlee, Datuk AC Mizal, Jonathan Putra, Shogen, Amir RL, Peron Yasu, Nasir Jani, Bohari Ibrahim, Budi Citawan dan Iqa Abidin.
Penyeksaan buruh paksa Penyeksaan buruh paksa Reviewed by Kakigosip on 06:31:00 Rating: 5
Powered by Blogger.