Penyanyi cipta sejarah pada AJL

Menjengah 32 tahun penganjurannya, Anugerah Juara Lagu (AJL) masih relevan sehingga ke hari ini dan sentiasa menjadi sebutan.

Setiap tahun jugalah penyanyi hebat berjuang di pentas gah itu membawakan lagu ciptaan komposer tersohor tanah air.

Sepanjang lebih tiga dekad, ada penyanyi yang terus kukuh berada di dalam industri dan begitu juga sebaliknya.

Sempena AJL yang akan berlangsung esok, kita lihat semula senarai penyanyi hebat yang pernah mencipta nama dan terus kekal gemilang sehingga ke hari ini.

1. Datuk Seri Siti Nurhaliza

Nama figura tersohor ini tak perlu lagi diperkenal. Tentunya, kehadirannya di AJL bermula pada 1996 membuka pintu buat namanya terus mekar.

Kemenangannya sebanyak tiga kali pada tahun itu menerusi lagu Jerat Percintaan, 1998 (Cindai) dan 2000 (Balqis) mengukuhkan namanya sebagai penyanyi nombor satu negara sehingga ke hari ini.

Tidak cukup dengan itu, Siti juga pernah merangkul lima kali anugerah Persembahan Terbaik di AJL selain lapan tahun berturut-turut layak ke AJL dari 1996 hingga 2003.

2. Dayang Nurfaizah

Dayang Nurfaizah memenangi kategori utama AJL tahun lalu menerusi lagu Lelaki Teragung dan tentunya sentiasa diingati dengan persembahan memukaunya.

Tidak hanya bergelar Juara Lagu, Lelaki Teragung juga membuktikan Dayang memiliki vokal terbaik dalam kalangan semua peserta pada tahun itu.

Sebelum itu, Dayang berjaya membuktikan kehebatan vokalnya di AJL29 dan AJL30 apabila dinobatkan sebagai pemenang Vokal Terbaik menerusi lagu Di Pintu Syurga dan Tak Pernah Menyerah, sekali gus kemenangan hatrik tiga kali berturut-turut.

Tahun ini, Dayang sekali lagi akan beraksi di pentas AJL32 menerusi lagu Separuh Mati Ku Bercinta.

3. Datuk M Nasir

Datuk M Nasir juga menjadi antara penyanyi dan komposer yang pernah memenangi AJL serta terus mekar sehingga ke hari ini.

M Nasir komposer pertama yang memenangi AJL sebanyak empat kali dan tiga daripada ciptaannya itu, dinyanyikan sendiri.

Ketiga-tiga lagu itu adalah Tanya Sama Itu Hud Hud (1994), Ghazal Untuk Rabiah (1997) dan Andalusia (1999).

Satu lagi lagu ciptaannya yang berjaya diangkat sebagai Juara Lagu adalah Awan Nano yang dinyanyikan Hafiz Suip pada 2011.

M Nasir juga pernah dua kali membolot dua daripada tiga kategori genre ketika format itu masih digunakan. Kedua-dua kategori itu adalah Pop Rock dan Irama Malaysia pada 1994 dan 1997.

4. Misha Omar

Siapa sangka, lagu sulung yang membawa namanya ke dalam industri, Bunga Bunga Cinta memenuhi kriteria Juara Lagu pada 2003.

Sebagai penyanyi baru pada waktu itu, tentunya Misha sendiri tidak pernah menjangka memenangi anugerah ini.

Sehingga kini, Misha masih bergerak secara aktif sebagai penyanyi di samping bergelar pengacara untuk program hiburan.

5. Hafiz Suip

Hafiz Suip juga tidak kurang hebatnya apabila lagu nyanyiannya pernah menggondol anugerah utama itu pada 2011 dan 2013.

Kedua-dua lagu itu Awan Nano ciptaan Datuk M Nasir dan Bahagiamu Deritaku ciptaan LY.

Sehingga kini, Hafiz masih aktif dan baru-baru ini hadir dengan single terbaru berjudul Hari Ini Dalam Sejarah yang lari daripada identiti muzik pernah dibawakannya sebelum ini.

6. Aizat Amdan

Lagu Pergi pernah menjadi ‘lagu berhantu’ dan kerana kehebatannya ia diangkat sebagai Juara Lagu pada 2009.

Walaupun tampil dengan persembahan serba ringkas, lagu ciptaan Pete Teoh dan lirik Amran Oman ini berjaya memukau penonton dan juri profesional.

Selain Pergi, Aizat juga pernah menggantikan Yuna yang pada ketika itu tidak berada di Malaysia untuk menyampaikan lagu ciptaan penyanyi berkenaan, Terukir di Bintang.

Siapa sangka, rezeki sekali lagi berpihak kepadanya sekali gus melonjakkan nama Aizat sebagai penyanyi yang mampu mengalunkan pelbagai genre lagu.

7. Jaclyn Victor

Jaclyn Victor menjadi penyanyi bukan Melayu kedua selepas Francissca Peter yang lagu nyanyiannya diangkat sebagai Juara Lagu pada 2005.

Lagu ciptaan Aubrey Suwito dan lirik oleh Asmin Mudin itu adalah lagu kemenangan ketika tampil di pentas akhir program realiti Malaysian Idol musim pertama.

Siapa sangka, lagu kemenangan itu jugalah yang membawa namanya dan terus dikenali sehingga ke hari ini.

Di saat penyanyi bukan Melayu lain semakin malap dalam industri lagu berbahasa Melayu, Jac terus yakin dan bersemangat memeriahkan industri hiburan tanah air.

8. Search

Diakui, band rock legenda Search kekal bersinar sehingga hari ini seperti lagu mereka.

Pernah menggondol gelaran Juara Lagu pada 1989 menerusi lagu Isabella, Search terus mengukir nama sebagai pemacu genre rock tanah air.

Selepas beberapa dekad, nama Search terus utuh walaupun dihambat pelbagai kontroversi membabitkan anggotanya.

Setiap kali beraksi di atas pentas, mereka pasti mendapat tepukan dan sorakan gemuruh peminat yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia.

9. Aishah

Bagi pengikut setia AJL sejak awal kemunculannya, tentunya adegan membawa beg ke pentas yang dilakukan Aishah tatkala menyampaikan lagu Janji Manismu akan sentiasa terpahat dalam ingatan.

Itu bukan kali pertama dan terakhir Aishah meraih anugerah itu. Namanya sekali lagi diumumkan sebagai juara pada 1995 menerusi lagu Cinta Beralih Arah.

Sehingga kini, juara program realiti Gegar Vaganza 4 ini terus aktif dalam bidang muzik.

10. Joe Flizzow & SonaOne

Lagu Apa Khabar ciptaan SonaOne dan lirik oleh Joe Flizzow ini memecah tradisi apabila menjadi lagu bergenre hip hop pertama dinobatkan sebagai Juara Lagu pada 2014.

Walaupun dianggap sebagai genre yang bukan saingan utama, jangkaan itu meleset apabila Apa Khabar memenuhi kriteria dengan menampilkan melodi hebat serta lirik luar kotak.

Sehingga kini, Joe Flizzow dan SonaOne terus-menerus mencuri hati peminat genre itu menerusi karya terbaru mereka, sekali gus memberikan alternatif kepada pencinta muzik.
Penyanyi cipta sejarah pada AJL Penyanyi cipta sejarah pada AJL Reviewed by Kakigosip on 00:39:00 Rating: 5
Powered by Blogger.