Pengalaman muzik 18 tahun, matangkan Rithan Vijay

BUKAN sahaja bergelar pemuzik, Rithan Vijay turut cemerlang membina kerjaya dalam penstriman audio yang memfokus kepada radio iaitu Radio Aku atau Raku.

Secara tidak langsung, lulusan Muzik dari Universiti Westminster ini mengakui situasi itu memberi pelbagai kelebihan kerana ia berkaitan di antara satu sama lain.

“Sebenarnya, ia satu bonus, sebab saya dapat duduk dalam both side. Ia membantu saya lebih memahami keadaan yang berlaku.

“Sebagai pemuzik, saya lihat bagaimana susahnya berkarya, manakala sebagai Pengarah Raku saya memandangnya dari segi platform dan peluang yang disediakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengakui sukar, namun lelaki berusia 38 tahun ini bernasib baik apabila mendapat sokongan penuh dan galakan daripada individu di sekelilingnya.


“Saya sedar ia bukan mudah apatah lagi dalam soal membahagikan masa. Tapi saya bersyukur kerana ramai membantu," katanya.

Rithan bersyukur apabila rezekinya masih lagi berkaitan bidang muzik yang memang diminati sejak kecil dan mula aktif  sejak18 tahun lalu.

Bantu artis tempatan
Bercakap mengenai Raku, Rithan berkata, aplikasi itu bermanfaat kerana membantu artis tempatan mempromosikan lagu sehingga peringkat antarabangsa.

“Raku menyediakan akses untuk menikmati sembilan stesen radio dan podcast secara langsung selain mendapat sokongan penuh syarikat rakaman selain pelbagai kandungan menarik,” katanya.

Tambahnya lagi, aplikasi ini juga menjadi platform bagi membantu  kumpulan muzik indie berkarya.

“Kita juga sering mengadakan pelbagai acara atau kempen seperti NegaRaku demi membantu memasarkan muzik mereka. Kami mahu setiap pemuzik berbakat ini mendapat ruang sebaiknya mempamerkan kerja mereka.

“Secara tak langsung, peminat juga berpeluang menonton kumpulan kegemaran mereka dengan lebih dekat lagi,” katanya.


Bercerita kerjaya muziknya, ahli kumpulan Deja Voodoo Spells ini berhasrat memasarkan album Live DVS You’re Right, hujung tahun ini.

“Album ini memuatkan lapan lagu ketika membuat persembahan di Rockaway Festival 2016 serta dua lagu yang dirakam.

“Dalam festival itu, kami tampil bersama Bumblefoot and the 11 Piece Book of Spells Orchestra,” katanya.

Bukan itu sahaja, Rithan juga gitaris bagi kumpulan Rampage yang dianggotai oleh Yazit (dram), Moq (penyanyi), Zham (bass) dan Jemboo (gitar).

“Abang Yazit merupakan idola saya sedari kecil. Jadi, apabila dia ajak sertai Rampage, saya tak akan sesekali melepaskan peluang keemasan ini.

“Jujurnya, saya teruja apabila album sulung Rampage iaitu Rempuh menemui juga peminat selepas 17 tahun.

“Sebenarnya banyak keistimewaan yang terdapat dalam album ini apatah lagi kami tampil dengan konsep versatil bahkan kami juga percaya muzik begini mudah diterima pada era kini,” katanya.
Pengalaman muzik 18 tahun, matangkan Rithan Vijay Pengalaman muzik 18 tahun, matangkan Rithan Vijay Reviewed by Kakigosip on 05:17:00 Rating: 5
Powered by Blogger.