Nita masih berjuang

Dalam pada industri hiburan tempatan terutama bidang nyanyian terarah kepada penyanyi baru, bekas naib juara Malaysian Idol musim kedua, Nita Hamzah terus gigih berjuang.

Meski pernah ‘senyap’ selama hampir 10 tahun, Nita atau Norhanita Hamzah, 38, berkata cintanya terhadap muzik tidak pernah padam.

Biarpun pada masa sama Nita kerap mendapat komen daripada netizen yang meminta dia berhenti menyanyi, itu tidak melemahkan semangatnya.

“Selepas tamat kontrak bersama syarikat rakaman SRC pada 2009, saya terus menyepi. Kalau nak bercakap soal putus asa, memang dari dahulu lagi, namun saya masih nak berjuang dan teruskan menyanyi.

“Setiap kali terbit rasa putus asa, mesti ada pihak yang datang buka jalan dan beri kata semangat. Daripada situ, saya yakin peluang tetap ada untuk saya. Tinggal lagi kena berusaha dan berbalik kepada rezeki daripada Allah.

“Diakui ramai cakap buat apa saya ingin terus berada dalam industri. Tidak kurang juga beranggapan saya sudah tidak diperlukan lagi. Kebanyakan komen ini saya diterima di laman sosial.

Bagi saya ia perkara biasa.

Saya faham, niat mereka menyuruh saya berhenti menyanyi. Namun, masih ramai yang beri maklum balas positif. Jadi, saya ambil ia untuk lebih bersemangat,” katanya.

Nita yang kali terakhir muncul dengan album Kusut pada 2007 menganggap tawaran daripada Like Music milik penyanyi Datin Alyah untuk bernaung di bawah syarikat itu ibarat sinar baru untuknya.

“Apabila tawaran ini datang, saya tergerak hati terima. Saya lihat ini satu permulaan baik untuk saya kembali aktif dalam bidang ini. Insya-Allah, saya akan menandatangani kontrak tidak lama lagi.

“Sebagai permulaan, saya bakal muncul dengan single Hadirlah Cinta iaitu projek pertama dengan syarikat Alyah. Kalau ada peluang lagi, saya memang nak rakamkan single lain juga,” katanya.

Dalam kegembiraan itu, Nita juga menyatakan hasrat menyertai pertandingan nyanyian realiti seperti Gegar Vaganza (GV).

“Sebenarnya, selama ‘senyap’ saya tidak tahu arah tuju dalam industri. Saya bersendiri tanpa ada yang membimbing. Jadi, saya tidak tahu nak masuk atau terbabit dalam mana-mana program.

“Bukan tidak ada kawan dalam industri tetapi tidak tahu cara. Nak bertanya pun takut orang pandang sinis. Disebabkan itu, saya berasa kurang yakin ke arah itu. Bukan tak nak masuk, malah saya berharap boleh masuk.

“Macam Malaysian Idol, saya pergi uji bakat. Namun, program GV saya tidak tahu cara macam mana. Akhirnya, saya tahu sudah ada peserta. Apabila orang tanya kenapa tidak cuba, saya tak tahu nak jawab macam mana. Kalau diberikan peluang, memang nak cuba,” katanya.

Berkongsi mengenai single Hadirlah Cinta, ia buah tangan Nita buat peminat selepas 11 tahun tidak merakamkan lagu.

Lagu ciptaan Sharon Paul dan lirik Iman Imran itu pada asalnya sudah dirakam penyanyi baru yang juga bekas artis rakaman Alyah, Mya.

“Saya difahamkan Mya menyatakan hasrat berhenti menyanyi. Kebetulan saya sedang mencari single. Pada masa sama, Alyah menawarkan saya lagu ini. Jadi, saya ambil dan rakamkan semula. Cuma bahagian rap dinyanyikan selebriti media sosial, Jaa Suzuran.

“Lagu ini belum dilancarkan tetapi saya baru muat naik sedikit ‘teaser’. Alhamdulillah, ramai memberikan maklum balas positif. Saya merakamkan lagu ini pada Februari tahun lalu. Perjalanan lagu ini agak panjang disebabkan saya terbabit dengan program travelog terbitan RTM, bertunang dan beberapa komitmen lain,” katanya.

Buang imej seksi

Menyentuh imejnya yang dikatakan seksi, Nita akui pada usia sekarang dia sudah banyak berubah.

“Saya sudah tidak seksi. Kalau tengok sekarang, banyak kurang dan berubah. Cuma definisi seksi pada orang yang melihat, saya pun tidak tahu. Kadang-kadang saya pakai baju biasa, orang kata seksi. Malah kalau saya pakai kebaya pun orang kata seksi.

“Jadi, mungkin cara pembawaan saya membuatkan mereka beranggapan sedemikian. Kalau ikutkan faktor umur, saya sudahkan kurangkan pakai pakaian yang boleh dianggap seksi,” katanya.

Ditanya sejauh mana penerimaan tunang dan bakal keluarga mentuanya, Nita akui mereka memahami kerjayanya sebagai anak seni.

“Alhamdulillah, tunang dan keluarga sangat memahami. Saya hormati mereka. Takkan saya nak pergi rumah mereka kena pakai seksi. Tengok pada situasi. Kalau saya ada persembahan atau ‘red carpet’, mereka faham,” katanya.
Nita masih berjuang Nita masih berjuang Reviewed by Kakigosip on 05:41:00 Rating: 5
Powered by Blogger.