Masih mencari ramuan...

PENYANYI dan bekas protege Tomok dalam Mentor Milenia 2017, Along Zaimi mengakui belum rezekinya apabila single pertama berjudul Menolak Hatiku gagal menyerlahkan namanya kepada peminat.

Along atau Mohamad Rozaimi Rosli, 22, berkata, tawaran persembahan juga tidak serancak dahulu tetapi dia tidak mudah mengaku kalah dan akan terus mencuba nasib sebagai penyanyi.

"Nak dikatakan gagal pun tidak juga kerana lagu ini dapat tempat di hati semua peminat termasuklah dijadikan lagu latar untuk drama bersiri popular Dendam Aurora di Astro Prima dan runut bunyi telefilem Aku Mahu Hidup di TV9.

"Ramai juga individu menyanyikan semula lagu ini di saluran YouTube dan saya sendiri banyak terima undangan daripada penganjur untuk menyanyi di majlis tertutup, ekspo, karnival dan banyak lagi," katanya.


Anak saudara penyanyi Ezad Lazim ini turut mengakui masih mencari ramuan terbaik untuk membuat peminat mengenalinya secara lebih dekat.

"Saya sedar saya tidaklah terlalu dipuja peminat seperti artis lain yang menjadi tular di laman sosial dan sana sini, namun saya lega kerana setidak-tidaknya ada juga yang kenal saya.

"Saya tidak berbohong pernah rasa kecewa kerana selepas menerima Diploma Muzik daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Oktober lalu, tiga bulan lamanya saya berehat kerana langsung tiada tawaran mana-mana pihak," katanya.

Along berkata, situasinya semakin berubah pada tahun ini apabila kembali ditawarkan menyanyi di pelbagai lokasi.

"Alhamdulillah rezeki tahun tahun baru apabila saya dapat semula undangan persembahan, promosi di TV dan radio selepas beberapa bulan yang perit.

"Bertambah ceria apabila Tomok akan menghasilkan single kedua saya yang rakamannya akan dibuat pada Mac ini," katanya.

Along juga kembali rancak memuatkan segala aktiviti seninya di laman sosial sebagai cara memotivasikan dirinya.
Masih mencari ramuan... Masih mencari ramuan... Reviewed by Kakigosip on 13:37:00 Rating: 5
Powered by Blogger.