Keunikan Cinta Dua Benua

SELEPAS kali terakhir bekerjasama menerusi filem Manisnya Cinta Di Cappadocia pada 2014, pengarah, Bernard Chauly dan Nur Fazura kembali bergandingan.

Kali ini, mereka bekerjasama untuk filem televisyen (FTV), Janji Zehan di Astro First Eksklusif (480) dan platform digital on demand.

FTV yang turut diarahkan Zabrina Fernandez ini, mengangkat keindahan panorama negara Timur Tengah; Iran dan keunikan budaya masyarakatnya yang masih mengekalkan tradisi lama dalam kehidupan moden hari ini.

Keseluruhan sesi penggambaran ini telah dijalankan di Iran dan mendapat sokongan Kementerian Pelancongan Negara Iran dan Kedutaan Besar Republik Iran di Malaysia.

Syarikat penerbangan tambang murah terbaik dunia, AirAsia turut hadir sebagai rakan penaja untuk penerbitan ini.

Bercerita lanjut mengenai pembikinan FTV ini, Bernard berkata, tajuk asal FTV ini dalam bahasa Iran adalah, Lahzeye Bi Payan bermaksud Dalam Satu Detik Masa Yang Tiada Pengakhirannya.


Lebih istimewa Janji Zehan menyaksikan kolaborasi pertama Fazura dan pelakon Iran, Amir Rezazadeh, 35.

Selain dibintangi Fazura (Zehan) dan Amir (Arman), pelakon hebat Bront Palarae buat penampilan khas sebagai abang kepada Zehan bernama Faizal.

"Sejujurnya, saya begitu gembira menjadi sebahagian daripada produksi Janji Zehan ini. Ini kerjasama saya yang pertama bersama Fazura selepas beberapa tahun mempersembahkan Manisnya Cinta di Cappadocia.

"Saya lihat gandingan sulung Fazura dan Amir Rezazadeh serasi dan tidak mengecewakan.

"FTV ini mengisahkan perhubungan perjalanan unik  penuh kejutan dan keterujaan. Cinta diumpamakan titian  dan digunakan pada saat indah dan sebaliknya," katanya.

Janji Zehan mengisahkan Zehan, seorang penerbit TV yang berjaya dan Arman, seorang usahawan makanan berasal dari Iran, yang baru mendirikan rumah tangga dan kini dalam perjalanan ke negara Timur Tengah itu untuk percutian bulan madu dan mencipta sebuah pengalaman romantis dalam fasa baru hidup mereka. 

Namun begitu, pengalaman malam pertama mereka tidak seperti diharapkan. Kedua-dua mereka menyedari kekurangan masing-masing, dan disebabkan perkara kecil sahaja, Zehan dan Arman mula mempertikaikan sama ada keputusan untuk berkahwin di buat secara terburu-buru.

Keesokan harinya, Zehan dan Arman cuba berbaik semula, namun kedua-duanya tidak selesa dan gembira yang diinginkan masih tidak menjelma.

Ketika mula beransur pulih, panggilan telefon diterima Arman daripada keluarga Zehan, cetus ketegangan.


Namun begitu, pada hari terakhir percutian mereka, Arman membuka mulut dan memberitahu Zehan mengenai keadaan ibunya yang kini berada di hospital. Zehan marah, sedih dan mula hilang pertimbangan.

Bagaimana pula dengan Arman? Dia cuba beri kebahagiaan hakiki kepada Zehan. Sebuah destinasi cinta yang tidak terkata keindahannya. Mahukah Zehan memaafkan Arman? Saksikan Janji Zehan, Februari ini.

Janji Zehan sudah ditayangkan Astro First Eksklusif, saluran 480 sejak 14 Februari lalu (Rabu). Dengan hanya RM 15.90, penonton boleh menonton berulang kali dalam tempoh 48 jam dari waktu pembelian.
Keunikan Cinta Dua Benua Keunikan Cinta Dua Benua Reviewed by Kakigosip on 11:48:00 Rating: 5
Powered by Blogger.