Ketua Polis Negara perlu perjelas status siasatan KP SPRM

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun digesa beri penjelasan mengenai status siasatan berhubung salah laku melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Bekas pemimpin Umno, Datuk Tamrin Tun Ghafar berkata, pada 17 Oktober tahun lalu, PDRM mengesahkan bahawa pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kes salah laku melibatkan Dzulkifli yang dikatakan mempunyai hubungan sulit bersama isteri orang.

“Namun begitu, sehingga kini status siasatan itu masih tidak diketahui oleh masyarakat umum dan apakah tindakan selanjutnya berhubung kes tersebut.

“Maka oleh sebab itu saya gesa agar ketua polis negara dapat beri respons terhadap status terkini siasatan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Tahun lalu, Dzulkifli terpalit dengan kontroversi apabila satu siri video disebarkan melalui media sosial, mendakwa beliau mempunyai hubungan sulit sehingga menyebabkan perceraian ke atas wanita itu.

Berikutan daripada perkembangan itu, beberapa pihak tampil membuat laporan sehingga polis bertindak untuk membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti individu dalam video terbabit.

Malah, Jabatan Peguam Negara turut menubuhkan pasukan tindakan khas untuk memantau secara teliti mengenai perkara ini di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan dan lain-lain kesalahan berkaitan.

Dzulkifli dalam kenyataan sebelum ini juga menegaskan bahawa beliau tidak akan tunduk terhadap sebarang serangan peribadi dan menyerahkan kepada polis bagi menjalankan siasatan berhubung kes itu.

Sehubungan itu, Tamrin berkata, pihaknya telah hantar surat kepada Mohamad Fuzi bagi mengatur pertemuan dengan beliau untuk dapatkan maklumat terkini status siasatan melihatkan pegawai nombor satu di agensi bebas rasuah tersebut.

“Saya telah pos surat itu sebelum ini malah pada 6 Februari (semalam) saya juga telah serahkan salinannya kepada pejabat ketua polis negara di Bukit Aman untuk perhatian mereka supaya pertemuan dapat diatur selepas ini.

“Polis telah beri respons terhadap surat saya itu dan menetapkan pertemuan pada 8 Februari (esok) di Bukit Aman,” katanya.

Dalam pada itu, Tamrin yang juga anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba memaklumkan bahawa anggota polis sewajarnya berkhidmat untuk negara dan bukannya untuk melindungi individu berkepentingan.

Tambah beliau, pihaknya berharap agar polis dapat menjalankan siasatan secara telus, bebas dan profesional dalam kes tersebut.
Ketua Polis Negara perlu perjelas status siasatan KP SPRM Ketua Polis Negara perlu perjelas status siasatan KP SPRM Reviewed by Kakigosip on 05:09:00 Rating: 5
Powered by Blogger.