Kembali selepas 7 tahun

Konsert Incubus di Malaysia, malam kelmarin sememangnya sudah lama dinantikan peminat kumpulan rock Amerika Syarikat itu.

Sudah tujuh tahun Incubus tidak bertemu dengan peminat di Malaysia apabila kali terakhir adalah pada 2011 di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

Kali pertama mereka membuat persembahan di tanah air pada 2004 dan kembali lagi empat tahun kemudian untuk Pesta Sunburst.

Konsert kali ini berlangsung di KL Live bagi memperkenalkan album kelapan Incubus berjudul 8.

Acara hampir dua jam itu menyaksikan anggota Brandon Boyd (vokalis), Mike Einziger (gitar), Jose Pasillas (dram), Ben Kenney (bas) dan Chris Kilmore (keyboard) memberi persembahan penuh bertenaga.

Mereka menghiburkan 2,000 peminat dengan 20 lagu baru dan lama.

Sekitar jam 9 malam, anggota kumpulan itu terus ke pentas dan memulakan persembahan pertama dengan lagu album 8 iaitu Love in a Time of Surveillance.

Daripada album itu, Incubus memilih lima lagu lain untuk diperdengarkan kepada penonton iaitu Nimble Bastard, Loneliest, Glitterbomb, No Fun dan State Of The Art.

Lagu selebihnya pada malam itu daripada album sebelum ini termasuk beberapa hit lama antaranya Megalomaniac, I Miss You, Drive, Wish You Were Here dan Sick, Sad Little World.

Album 8 yang memuatkan 11 lagu mengambil masa hampir dua tahun untuk siapkan sebelum dilancarkan pada April lalu.

Pada saat akhir, kumpulan itu meminta produser terkenal Skrillex yang juga rakan baik mereka untuk memberi sentuhan segar dalam muzik Incubus.

Dalam temu bual baru-baru ini, Kimore berkata, Skrillex berjaya memberi hasil memuaskan untuk album 8.

“Kami sudah lama mengenali Skrillek dan tidak menafikan dia pemuzik yang hebat.

“Skrillex berjaya menghasilkan muzik menakjubkan untuk album ini dan kami bertuah menerima bantuannya,” katanya.

Pemain keyboard itu berkata, inspirasi Incubus menghasilkan muzik menarik datang daripada pengalaman dan perjalanan seni kumpulan itu sepanjang hampir tiga dekad dalam industri muzik.

“Macam-macam kami pernah lalui. Semangat dan sokongan kuat peminat ketika bertemu mereka di konsert memberi kepuasan kepada kami.

“Oleh sebab itu, kami sentiasa bersemangat untuk menghasilkan muzik terbaik bagi peminat,” katanya.

Berkongsi perkembangan seni Incubus untuk tahun ini, Kilmore berkata mereka kini sibuk dengan konsert jelajah dan pesta muzik.

“Selain itu, kami mungkin akan mula menulis lagu untuk album seterusnya,” katanya.
Kembali selepas 7 tahun Kembali selepas 7 tahun Reviewed by Kakigosip on 17:12:00 Rating: 5
Powered by Blogger.