Jay Iswazir aktif kerja belakang tabir

SELAIN sibuk di lokasi penggambaran untuk filem dan drama, pelakon Jay Iswazir mengakui tidak pernah meninggalkan dunia pentas yang menjadi kecenderungannya sebelum ini.

Bagi memastikan dia terus aktif dalam lakonan pentas, Jay cuba memastikan untuk terlibat dalam teater sekurang-kurangnya setahun sekali.

Terbaru, pelakon yang cukup dikenali dengan watak antagonis ini baru sahaja selesai menjalani pementasan teater Zulaikha.

Lebih membanggakan, naskhah ini diangkat sebagai juara pertandingan teater peringkat negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

“Pada awalnya penglibatan saya dalam teater ini sebagai penolong pengarah untuk membantu Amar Ashraf, tetapi tiba-tiba ditarik berlakon bagi menggantikan pelakon utamanya yang menarik diri pada saat-saat akhir.

“Tidak sangka juga rezeki menyebelahi produksi kami apabila naskhah ini diangkat sebagai juara di peringkat Pulau Pinang dan bakal dibawa ke peringkat pemilihan seterusnya untuk menyertai Festival Teater Malaysia.

“Walaupun aktif dengan drama dan filem, tapi minat saya kepada teater tidak pernah berkurang meskipun kadang-kala bayarannya jauh lebih rendah,” akuinya jujur.

Selain sibuk dengan lakonan, Jay kini terlibat dengan kerja-kerja belakang tabir sebagai jurulatih lakon dan banyak menerima jemputan untuk berkongsi ilmu lakonan membabitkan pelajar.

“Tawaran ini datang secara tak sengaja bila ada pihak yang tahu latar belakang saya dalam bidang teater dan mempelawa saya membuat perkongsian dengan pelajar atau kumpulan yang berminat.

“Baru-baru ini saya sempat bersama pelajar UiTM Melaka, MCKK dan beberapa  kumpulan lagi yang membuat jemputan.

“Kalau ikutkan sebelum ini saya tak begitu berminat menjadi tenaga pengajar, tetapi disebabkan ia hanya dilakukan secara separuh masa, apa salahnya saya kongsi ilmu dan pengalaman yang ada,” katanya yang mula aktif dalam bidang lakonan sekitar tahun 2010.

Dalam perkembangan lain, Jay akan menjadi pengapit kepada sahabat baik kepada penyampai radio Suria FM, Fizi Ali yang bakal melangsungkan perkahwinan 18 Februari ini mengakui belum terfikir untuk menamatkan zaman bujangnya.

“Asyik bawa watak jahat saja, orang nak buat menantu pun rasa takut. Tunggu sajalah jodoh sampai macam mana," katanya sambil ketawa.

“Tapi kalau boleh saya berharap dapat pasangan yang bekerja dalam bidang seni juga, senang nak faham kerja masing-masing nanti,” katanya yang bakal muncul dalam filem Polis Evo 2 tidak lama lagi ini.
Jay Iswazir aktif kerja belakang tabir Jay Iswazir aktif kerja belakang tabir Reviewed by Kakigosip on 05:16:00 Rating: 5
Powered by Blogger.