Irama ghazal dalam dangdut

Muzik ghazal di Malaysia sering dikaitkan dengan pengaruh muzik Hindustan dari India dan muzik qawwali (Pakistan).

Perkembangannya di Malaysia sejak era 50-an sangat memberangsangkan dan menjadi identiti utama bagi masyarakat di Johor.

Ketua Program, Pusat Seni Pentas Tradisional ASWARA Mohd Kamarulzaman Taib atau Che Kem, berkata perkembangan muzik ghazal semakin hangat dibincangkan dalam arena industri muzik dangdut.

“Malah, sejak munculnya acara Dangdut Academy Asia (DAA)di Indosiar (Indonesia) pada 2015, diikuti pula Dangdut Star oleh ASTRO Malaysia, istilah ‘ghazal’ sering menjadi buah mulut barisan juri dalam menilai penampilan peserta pertandingan itu.

“Nama peserta mewakili Malaysia seperti Shiha Zikir, Fitri, Rojer Kajol, Elda Susanti, Asmidar, Syura dan Azizul Haqim sering dianggap peserta berbakat besar dalam menyampaikan teknik ‘cengkok’ atau ‘lenggok’ Melayu,” katanya.

Katanya, mereka sering dijadikan contoh kepada peserta negara lain dalam penguasaan teknik terbabit.

Ironinya, dalam acara Dangdut Star ASTRO Malaysia, ghazal selalu diasingkan daripada teknik nyanyian dangdut dan sering kali dinilai tidak menepati gaya nyanyian dangdut yang diinginkan.

Pelakon yang terkenal dengan watak Tunku Abdul Rahman melalui filem 1957: Hati Malaya itu berkata, berdasarkan sejarah perkembangan muzik ghazal Melayu Johor, ramai tidak mengetahui elemen dangdut sudah wujud dalam muzik ghazal sejak dulu.

Katanya, ia jelas didengar pada ritma dan melodi yang dimainkan alat muzik utamanya seperti tabla, harmonium dan vokal.

Tambahan pula, muzik dangdut sememangnya tidak lepas daripada pengaruh budaya muzik yang sama iaitu muzik Hindustan.

“Lebih jauh lagi, keserasian antara ghazal dan dangdut menjadi inspirasi buat kumpulan Seri Melati Ghazal Johor Bahru pada 1980-an.

“Mereka adalah kumpulan ghazal pertama di Malaysia yang merakamkan album ghazal dengan tema irama dangdut,” katanya.

Che Kem turut persoal, apakah elemen ghazal adalah ciri khas bagi muzik dangdut atau sebaliknya dan bagaimana teknik ghazal dapat dibezakan dengan teknik nyanyian dangdut?

Disebabkan pelbagai persoalan yang sering timbul kalangan peminat dan pendengar tegar muzik itu, PuTRA akan mengupas secara demonstratif dan kreatif dalam Arena Ghazal bersama Fitri (DAA1), Rojer (DAA2), Azizul Haqim (DAA3) dan Dr Mantabla (Komposer dan Pensyarah Muzik UPSI).

Katanya, Arena Ghazal adalah anjuran bersama PuTRA dan Persatuan Ghazal Johor Malaysia (GHAJMAS) dengan kerjasama Pusat Kebudayaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Ia adalah program sepetang bersama muzik ghazal yang akan berlangsung pada 27 Februari ini (Selasa, jam 4 petang di Dewan Orkestra, ASWARA.
Irama ghazal dalam dangdut Irama ghazal dalam dangdut Reviewed by Kakigosip on 05:53:00 Rating: 5
Powered by Blogger.