'Ini satu perjuangan'

Pengarah dan penerbit filem Bidong: The Boat People, Yusuf Kelana mengakui filem arahannya itu tidak akan mendapat sambutan penonton tempatan terutama dalam kalangan penonton Melayu.

Tanpa berselindung, dia menyifatkan filemnya itu tidak mempunyai nilai komersial seperti kebanyakan filem tempatan lain.

“Ia bukan filem komersial. Ramai bertanya kenapa pilih genre yang saya tahu payah nak jual?

“Sebenarnya konsep filem ini saya dapat ketika menjalani penggambaran filem berjudul Bahayanya Cinta di Hanoi, Vietnam. Dari situlah tercetusnya idea dan nampak ia sebuah filem yang boleh diangkat membabitkan negara kita,” katanya.

Pengarah berusia 64 tahun ini melakukan kajian selama enam bulan untuk menghasilkan skrip dan lakon layar.

Katanya, idea filem tercetus selepas tercetusnya isu pelarian yang menjadi topik hangat masyarakat dunia.

Baginya, subjek pelarian adalah panas dan dia memilih idea itu walaupun tahu sukar untuk dijual kerana tiada nilai komersial.

“Tapi itulah tanggung jawab saya sebagai pembikin untuk melahirkan filem dengan kandungan berbeza. Ia diilhamkan daripada kisah benar dan saya bertemu bekas pelarian Vietnam dibawa khas dari Australia,” katanya.

Paling penting ialah filem ini ada gabungan muka baru dan kebanyakannya pertama kali memegang watak utama.

Yusof berkata, dia tidak mahu bergantung kepada pelakon popular kerana percaya ia bukan jaminan filem itu laku.

“Kita lihat berapa banyak filem menggunakan pelakon gred A atau B, apa jadi? Walaupun menampilkan pelakon baru, saya tetap berpuas hati dengan komitmen mereka.

“Saya juga tidak berani meletak harapan tinggi. Terpulang kepada tafsiran individu untuk menilai ia baik atau buruk. Saya terima dengan hati terbuka,” katanya.

Tambahan pula filem arahannya itu bakal bersaing dengan sebuah lagi filem tempatan berbajet besar dan mempunyai nilai komersial tinggi iaitu KL Special Force, seminggu selepas tayangan filemnya iaitu pada 1 Mac depan.

Katanya, ia adalah satu perjuangan dan percaya pada rezeki serta takdir. Andai gagal sekalipun, dia tetap reda.

Namun, berita baiknya ialah filem berbajet RM1.3 juta ini dijangka dapat ditayangkan di luar negara antaranya Filipina dan China.

Kru cabut lari

Filem yang menjalani 100 peratus penggambaran di Pulau Bidong, Kijal dan Kuala Terengganu ini juga berdepan cabaran getir.

Antaranya, beberapa kru meninggalkan set penggambaran filem itu kerana terlalu tertekan dengan gangguan mistik.

“Empat kru melarikan diri bersama-sama peralatan dan van penggambaran sehingga saya terpaksa membuat laporan polis.

“Bagaimanapun, selepas dipujuk dua daripada mereka kembali bekerja tetapi dua lagi terpaksa diganti dengan kru baru,” katanya.

Yusof berkata, set berupa jeti lama di Kijal dipercayai agak ‘keras’ dan kru sering mendakwa mengalami gangguan mistik.

Mereka juga berdepan masalah sama ketika penggambaran dilakukan di Pulau Bidong sehingga terpanggil untuk mendapatkan khidmat seorang ustaz.

Bagi mengelak kejadian mistik yang tidak diingini, produksi juga terpaksa mengubah waktu penggambaran di pulau itu pada sebelah siang saja.

Selain itu, tiga pelakon Vietnam yang sepatutnya berlakon dalam filem ini dihalang pihak berkuasa Vietnam tiga hari sebelum penggambaran bermula pada 2016.

“Mereka sudah menandatangani kontrak lakonan dan saya juga sudah belikan tiket kapal terbang untuk mereka. Malangnya mereka ditahan di lapangan terbang dan dilarang ke sini (Malaysia).

“Alasannya, skrip yang ditapis Jabatan Kebudayaan negara itu seolah-olah memburukkan pemerintah mereka. Walhal mereka tidak mahu mengaku ia adalah sebahagian daripada sejarah,” katanya.

Menurutnya, 20 peratus babak dalam filem itu sepatutnya menjalani penggambaran di Hanoi dan susulan itu, ia terpaksa dirombak semula.

Yusof akui sebelum ini pernah berdepan peristiwa rakaman mereka dirampas dan babak yang babitkan rakyat mereka dipotong pemerintah Vietnam atas alasan ia tidak betul.

Filem Bidong: The Boat People dilakonkan Taufiq Hanafi, Irene Wong, Livonia Ricky, Z Zambri, Lawrence Poh, Abby Nour, Man Raja Lawak dan Vanessa Lim.

Ia menggunakan empat bahasa iaitu bahasa Malaysia, Kantonis, Inggeris dan Vietnam.
'Ini satu perjuangan' 'Ini satu perjuangan' Reviewed by Kakigosip on 13:24:00 Rating: 5
Powered by Blogger.