Impian jadi nyata di Zayan

Sedar tak sedar, sudah masuk bulan kelima penyanyi Mawi bergelar penyampai di stesen radio baru, Zayan.

Impian menjadi kenyataan, Mawi semakin selesa bekerja di belakang mikrofon di dalam konti, sekali gus gembira dengan pencapaiannya.

“Dulu sebelum jadi artis, saya memang bercita-cita menjadi penyampai radio. Antara kerja yang saya pernah buat adalah menjadi deejay majlis perkahwinan dan pasar raya.

“Penyertaan saya dalam Akademi Fantasia 3 (AF3) juga untuk mencuba nasib sebagai penyampai memandangkan ramai bekas peserta AF pada ketika itu seperti Adifashla dan Nana Mahzan menjadi penyampai radio.

“Tapi, rezeki selepas AF3 lebih kepada nyanyian. Alhamdulillah, selepas 12 tahun akhirnya impian saya menjadi kenyataan,” katanya.

Menurut Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, tidak menjadi masalah baginya untuk bekerja di belakang tabir dan tidak disorot oleh kamera.

“Dalam konti, kita lebih relaks. Bagi saya, ia lebih mudah sebenarnya kerana saya tak perlu mengenakan solekan, bahkan tak perlu beria-ia mencari pakaian seperti apabila muncul di kaca TV,” katanya.

Di Zayan, Mawi mengendalikan program Salam Bros yang berkumandang bermula jam 6 pagi hingga 10 pagi.

“Kalau ada yang belum tahu, Zayan adalah stesen radio gaya hidup Muslim moden yang menerapkan elemen kontemporari.

“Untuk slot Salam Bros, saya mengendalikannya bersama rakan setugas saya, Anas Tahir. Kebanyakan kandungan dalam slot itu kami akan cari sendiri dan pada masa sama, ada juga yang disediakan oleh pengurus kandungan,” katanya.

Bercerita mengenai slot kelolaannya itu, Mawi memaklumkan ada tiga segmen yang mendapat tumpuan ramai pendengar.

“Tiga segmen itu adalah Mawi Jawi, Ayat World dan Bro Buskers. Mawi Jawi adalah segmen saya mengajar dan membuat kuiz mengenai tulisan Jawi.

“Segmen Ayat World pula menjadi segmen kami belajar beberapa bahasa asing seperti Perancis, Russia, Urdu, Arab dan Inggeris.

“Segmen ketiga iaitu Bro Buskers pula paling menarik. Saya dan Anas menyanyikan lagu daripada lirik secara rawak dan spontan,” katanya.

Bercerita mengenai muzik, Mawi baru keluarkan satu single bersama Dali Filsuf dan tidak lama lagi, akan merakamkan lagu runut bunyi filem Munafik 2 bersama Syamsul Yusof.

“Single baru bersama Dali itu berjudul Sang Pencipta Kasih dan alhamdulillah, radio juga sudah mula memainkan lagu itu,” katanya.
Impian jadi nyata di Zayan Impian jadi nyata di Zayan Reviewed by Kakigosip on 19:43:00 Rating: 5
Powered by Blogger.