Ilham lawak dari Asia

Penyedia perkhidmatan televisyen Internet, iflix memperkenalkan program komedi terbitan sulung­nya, Jon Atherton: Disoriental yang dijangka disiarkan di aplikasi itu pertengahan tahun ini.

Rancangan selama sejam itu memaparkan pengalaman pelawak, Jon Atherton menetap di Asia selama dua dekad.

Mahir bertutur dalam beberapa bahasa, Atherton antara pelawak Australia yang mencapai kejayaan besar dalam industri hiburan.

Pelawak itu membina karier seninya menerusi televisyen dan teater di Australia, Afrika dan rantau Asia.

Pernah bekerjasama dengan produksi besar seperti Lonely Planet dan HBO, Atherton menjadikan pengalaman berada di Thailand, Singapura, Indonesia dan India sebagai inspirasi menghasilkan lawak.

Pengarah Global Program Asli iflix Mark Francis berkata, pelawak itu mudah menyesuaikan diri dengan budaya masyarakat Asia yang berbilang kaum.

“Kemampuan Atherton membolehkan dia menghasilkan lawak yang dekat dengan masyarakat rantau ini,” katanya.

Menurut Francis, sambutan hangat terhadap persembahan Atherton dalam program iflix, Oi! Jaga Mulut menandakan penonton mahu terus menyaksikan lawaknya.

“Penerimaan baik itu meyakinkan kami untuk menghasilkan program lawak solo yang dikendalikan Atherton,” katanya.

Penggambaran Jon Atherton: Disoriental dilakukan di ibu kota pada awal Februari ini.

Jualan tiket menyaksikan persembahan itu disalurkan kepada Asy­lum Access bagi membiayai usaha pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa terbabit memperjuangkan hak pelarian di Asia, Afrika dan Amerika Latin.

Selain Jon Atherton: Disoriental, iflix bakal menyiarkan siri dokumentari Coconuts TV dan drama tanah air, KL Gangster: Underworld.
Ilham lawak dari Asia Ilham lawak dari Asia Reviewed by Kakigosip on 17:17:00 Rating: 5
Powered by Blogger.