Hazamin Inteam dalami bahasa Arab

BAGI memenuhi keperluan sebagai mutawif, Hazamin Inteam mengambil keputusan mengikuti kursus Bahasa Arab Intensif di Fes, Maghribi, baru-baru ini.

Secara tidak langsung, katanya, situasi itu bakal membantu memudahkan urusan untuk berkomunikasi.

“Bahasa Arab ialah bahasa al-Quran dan bahasa ilmu, khususnya berkaitan Islam.

“Kita bertuah kerana lebih mudah mendalami bahasa Arab. Lagipun, banyak perkataan bahasa Malaysia dipinjam daripada perkataan Arab,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada masa sama, Hazamin, 38, berkata, belajar bahasa Arab juga adalah impiannya.

“Sebenarnya, saya dah lama teringin mendalami bahasa al-Quran ini. Tapi, terpaksa tangguh sebab sibuk dengan kerjaya seni. Saya nekad mendaftar kursus ini bagi sesi hujung tahun lalu. Alhamdulillah, akhirnya terlaksana,” katanya.

Berkongsi pengalaman, katanya, Fes dikenali sebagai kota ilmu dan wali kerana melahirkan ramai ulama hebat.

“Saya juga berpeluang belajar dengan pelajar dari pelbagai negara seperti Britain, Amerika Syarikat, Belgium, Australia, China dan Jepun.

“Memang saya teruja dengan semangat mereka walaupun ada sebahagiannya bukanlah Islam dan perlu belajar sejak awal. Saya pun rasa malu tapi terus membangkitkan semangat  mendalami bahasa ini,” katanya.

Bahkan, peluang di bumi Maghribi turut dimanfaatkanHazamin untuk mengenali masyarakat dan budaya selain menziarahi lokasi menarik seperti Rabat, Marrakech, Casablanca, Irfane, Meknes, Chefchouen dan Gurun Sahara di Merzouga.

“Maghribi merupakan negara di benua Afrika yang sangat unik, subur dan indah. Ada laut, hutan, air terjun, padang pasir, kawasan tandus dan gersang bahkan gunung bersalji.

“Pengalaman naik unta di Gurun Sahara dan bermalam dalam khemah di padang pasir, adalah unik,” katanya.

Beralih soal kerjaya seninya, Hazamin berkata, Inteam sedang sibuk mempromosikan album Zikir Hati di dalam bentuk pemacu kilat USB (USB Flash disk) yang diterbitkan hujung tahun lalu.

Bukan itu sahaja, katanya, Inteam dalam proses menyiapkan 10 video rakaman nyanyian live bagi lagu-lagu malar segar, sejak tahun 2000.

“Insya-ALLAH, studio baru kami baru sahaja siap dan dilengkapi ruang untuk rakaman video.

“Jadi, kami akan manfaatkan fasiliti ini dengan menghasilkan rakaman video live ini untuk menghargai peminat,” katanya.
Hazamin Inteam dalami bahasa Arab Hazamin Inteam dalami bahasa Arab Reviewed by Kakigosip on 08:06:00 Rating: 5
Powered by Blogger.