Dulu dikecam gemuk, sekarang...

PELAKON dan penyanyi, Ieda Moin, 39, mengakui dia kini amat mengutamakan penampilan diri dengan memastikan sentiasa tampil bergaya.

Untuk itu, ibu tunggal seorang anak ini juga sanggup mengikuti program diet berdasarkan nasihat doktor dan memotong pendek rambutnya.

Pemilik nama sebenar Siti Haida Abdul Moin ini berkata hampir sebulan dia mengikuti program diet dikelola sebuah klinik swasta itu, sudah sembilan kilogram berjaya diturunkan.

"Berat asal saya 64 kilogram. Sekarang turun jadi 55 kilogram dengan hanya mengikut amalan diet pemakanan sihat ditetapkan.



"Saya kurangkan nasi tetapi banyak makan sayur hijau yang direbus dan elak makanan bergoreng.

"Hidangan ayam atau daging hanya dikukus atau panggang tanpa minyak termasuk banyak makan buah-buahan kecuali buah tempatan.

"Apapun, ada beberapa kilogram lagi perlu diturunkan untuk ideal dengan ketinggian 152 sentimeter saya selain gaya rambut juga diubah pendek," katanya.

Memilih potongan rambut 'boyish', penyanyi yang pernah popular dengan lagu duet Kau Yang Ku Sayang pada era 1990-an ini berkata dia sangat selesa dengan gaya rambut baru itu walaupun dikecam segelintir netizen.

"Saya tolak tepi segala kecaman netizen yang mendakwa gaya rambut pendek tidak sesuai buat janda macam saya. Ditambah lagi, faktor usia.

"Dulu, badan berisi pun dikecam gemuk. Sekarang, biarlah nak kecam apa pun, saya terima dengan rela hati kerana untuk 2018 ini memang azam mahu cantikkan diri sendiri.

"Kalau ada juga orang nak cakap saya 'masuk bakul angkat sendiri' pun OK saja, saya terima dengan positif," katanya.

Sudah lali dengan segala kecaman, Ieda berkata dia selesa bersikap terbuka kerana tidak mahu dirinya dihambat tekanan dek kecaman netizen atau sesiapa pun.

Kini sibuk dengan penggambaran drama Geng Tadarus, Ieda juga akan masuk ke set program Kecoh Dapur musim ketiga bersama pelakon Amyza Adnan tidak lama lagi.

Ieda pernah berkahwin dengan Mohamad Naquib Idris pada 4 November 2006 dan dikurniakan anak perempuan, Nur Dhia Dania, 10. Namun, pasangan ini bercerai talak satu pada 18 Disember 2014.
Dulu dikecam gemuk, sekarang... Dulu dikecam gemuk, sekarang... Reviewed by Kakigosip on 05:49:00 Rating: 5
Powered by Blogger.