Dr Soo Wincci sambut Tahun Baru Cina di Sepanyol

PENYANYI dan pelakon, Dr Soo Wincci mengakui terkilan tidak dapat pulang menyambut Tahun Baru Cina yang diraikan semalam bersama keluarganya di Malaysia.

Wincci yang kini sedang menyambung pengajian dalam bidang muzik di Berklee Music of College, Sepanyol semenjak Julai lalu mengakui terikat dengan jadual yang padat di sana.

Atas sebab itu, dia tidak dapat pulang ke Malaysia untuk meraikan tahun baru bersama kedua ibu bapanya sebagaimana kemestiannya sebelum ini.

“Kalau ikutkan memang sedih tak dapat raikan tahun baru dengan ibu bapa, tetapi pada zaman teknologi serba canggih sekarang ini kerinduan itu dapat diubati dengan pelbagai cara.

“Walaupun jauh, tetapi kami sentiasa berhubung untuk berkongsi perkembangan terkini masing-masing.

“Boleh telefon saja pada bila-bila masa, ataupun whatsapp untuk bertanya khabar kerana jarak bukan lagi alasan untuk kita tidak berhubung,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Wincci bagaimanapun menyifatkan dirinya bertuah kerana mempunyai keluarga yang begitu memahami minat dan impiannya selama ini.

“Ini bukan kali pertama saya tidak dapat sambut tahun bersama, tetapi mereka faham saya terikat dengan pelajaran dan kerjaya di sini.

“Sejak dari dulu, kedua ibu bapa tahu saya seorang yang begitu  komited dengan kerjaya dan impian saya.

“Jadi mereka sentiasa menyokong apa yang saya lakukan dan memberi ruang kepada untuk mengajar apa yang saya mahukan,” katanya.

Ditanya apakah yang paling dirindukannya saat ini, kata Wincci, semestinya momen bersama keluarga dan masakan ibunya yang sering bermain di fikiran.


“Paling rindu mestilah ketika dapat meluangkan masa menyambut tahun baru bersama keluarga dan berkumpul ramai-ramai buat macam-macam aktiviti.

“Saya sentiasa teringat masakan ibu kerana semenjak kecil lagi, masakan memang sering menjadi agenda utama kami sekeluarga terutamanya pada musim perayaan begini.

“Bila makin dewasa, peluang sebegitu sangat jarang diperoleh. Apatah lagi saya kini sering sibuk dengan urusan kerjaya ke sana sini membuatkan masa sangat terhad untuk bersama selalu,” luahnya.

Belajar sambil bekerja
Berkongsi sambutan tahun baru di bumi asing, kata Wincci, dia dan pelajar Cina di sana akan meluangkan masa untuk berkumpul dan memasak bersama.

“Sempena sambutan tahun baru yang pertama kali saya raikan di sini,, kami merancang untuk berkumpul dan  memasak bersama-sama.

“Saya akan masak makanan Malaysia, untuk mereka rasai keunikan masakan kita di tanah air,” katanya yang cukup pakar dalam bab masakan.

Dalam perkembangan lain, penyanyi yang pernah dikenali menerusi lagu Terus Teranglah ini memberitahu dia gembira kerana dapat menimba ilmu di kolej muzik terkenal yang telah lama menjadi idamannya ini.

“Bukan senang nak memohon belajar di sini dan saya sendiri menunggu masa yang begitu lama sebelum diterima masuk.

“Ia merupakan antara kolej muzik terbaik di dunia dan pernah menghasilkan ramai bakat handal dalam bidang muzik termasuk mereka yang terlibat dengan Anugerah Grammy dan acara-acara muzik popular yang lain.


“Saya melalui masa yang agak sukar malah hampir berputus asa pada tiga bulan pertama berada di sini kerana perlu menyesuaikan diri dengan cara kerja dan disiplin mereka yang sangat ketat dalam segala segi.

“Namun selepas itu saya dapat mengikut rentak mereka dan semuanya menjadi lebih mudah dan menyeronokkan buat saya sepanjang berada di sini,” akui Wincci.

Mahu menimba pengalaman semaksimum yang mungkin, anak kelahiran Kuala Lumpur ini tidak hanya belajar, tetapi turut mengambil peluang untuk bekerja sambilan di sana.

“Sebenarnya tidak ramai wanita yang terlibat dalam bidang muzik produksi kerana peluangnya tidak banyak.

“Disebabkan itu saya perlu bekerja keras untuk mengejar peluang itu biarpun perlu berdepan dengan pelbagai dugaan dan cabaran.

“Untuk berada di sini, saya kena lepaskan apa yang saya pernah ada di Malaysia dan di Asia, malah perlu bekerja dari bawah semula untuk berjaya di sini,” katanya yang turut bekerja sambilan sebagai pembantu di studio muzik di sana.
Dr Soo Wincci sambut Tahun Baru Cina di Sepanyol Dr Soo Wincci sambut Tahun Baru Cina di Sepanyol Reviewed by Kakigosip on 06:13:00 Rating: 5
Powered by Blogger.