Diwarnai insan berjiwa besar

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca . Moga hari yang indah ini disirami dengan perkara yang bermanfaat dan diredai.

Benarlah kata pujangga diri manusia itu kecil sahaja tetapi dalam diri yang kecil itu ada satu alam yang besar. Begitulah hebatnya kuasa yang ditanam dalam diri setiap manusia apabila dilahirkan dengan jiwa yang besar dan perkara-perkara kebaikan.

Bukan apa, Adik kagum dengan peminat yang tidak pernah jemu menyokong malah mereka sudah mulakan gerak gempur mengundi dalam Anugerah MeleTOP Era dan pada masa sama Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2018 (DFKL).

Adik tak sangka dengan sokongan padu diberikan kelab peminat Adik, AJ Screamer yang sentiasa mahu melihat adik berjaya. Kalau ikutkan, siapalah adik ini buat mereka. Hanya insan biasa yang boleh mengisi sedikit ruang di hati mereka. Cewah! Jiwang pula.

Boleh dikatakan hampir setiap hari mereka akan meluangkan masa mengundi Adik dalam beberapa kategori yang dipertandingkan. Nak mengundi bukan mudah, makan masa, data Internet dan paling penting kegigihan mengundi banyak kali.

Adik memang kalah kalau dengan mereka. AJ Screamer sentiasa buat adik rasa terharu dan serba salah kerana sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi.

Walaupun kami tidak mempu­nyai pertalian darah, peminat ikhlas membantu dan mahu melihat Adik menggenggam trofi.

Tanpa sokongan padu daripada peminat, adik tidak akan sampai ke tahap ini. Kehadiran Adik sebenar­nya diwarnai mereka yang berjiwa besar. Semoga mereka sentiasa bersama Adik, insya-Allah.

Alhamdulillah, DFKL 2018 nama Adik tercalon dalam beberapa kategori. Antaranya, Aktres Pilihan, Pasangan Pilihan, dan semua kategori turut tercalon yang membabitkan drama Dekatkan Jarak Kita.

Untuk Anugerah Meletop pula, Adik tercalon untuk Penyanyi MeleTOP dan Lagu MeleTOP.

Bercakap mengenai penganjuran DFKL 2018, Adik sebenarnya me­nyambut baik usaha Media Prima Berhad menyediakan platform buat anak muda untuk bergelar pelakon.

Terima kasih kerana memberi ruang kepada mereka yang mahu mengembangkan bakat dalam bidang ini.

Teringat Adik ketika mula-mula masuk industri seni sekitar tujuh tahun lalu. Fuh! Memang susah ketika itu.

Adik bermula sebagai pelakon tambahan sahaja. Pergi ke set naik van produksi, duit cukup-cukup makan sahaja, memang tak berani nak beli-belah.

Bukan setakat itu sahaja, kadang-kadang penggambaran dua tiga drama dalam satu masa yang sama tapi popularnya tidak. Hihihi...

Tak mengapalah, asalkan tak menyusahkan orang, kan? Memang perangai Adik pun tak pandai meminta dengan ibu bapa. Biar kita susah, jangan susahkan orang lain.

Untuk Adik dapat watak utama mengambil masa yang lama. Adik percaya zaman pelakon sebelum Adik, mesti lagi susah nak mencipta nama. Namun, semua itu berbalik kepada rezeki dan usaha kita sendiri.

Sekarang, lebih mudah jadi pelakon dan dapat watak utama. Jadi, Adik harap anak muda yang mahu mencuba nasib dalam uji bakat DFKL 2018 gunalah peluang ini sebaik mungkin. Jangan gunakan platform ini untuk meraih populariti semata-mata.

Bagi adik, ilmu, pengalaman, usaha dan peribadi itu yang membezakan anda dengan yang lain. Kalau kata bab ilmu, tak semestinya anda wajib ke universiti, menggenggam ijazah lakonan dan sebagainya.

Zaman sekarang sudah banyak kelas lakonan daripada tenaga pengajar profesional dan artis yang berpengalaman.

Tak kira di mana, pasti ada sesuatu yang boleh dipelajari. Bukan sahaja kita mengambil kelas lakonan malah di set juga antara tempat untuk belajar. Banyakkan bertanya dengan artis yang lama, pengarah dan kru.

Kalau nak tahu, adik memang akan baik dengan kru supaya suasana penggambaran akan jadi meriah, kurang gugup dan shot yang nak diambil pun akan cantik. Baru nampak cun dalam televisyen nanti. Hihihi...

Kepada semua yang nak hadir ke ujibakat DFKL2018 yang akan berlangsung tak lama lagi, jangan lepaskan peluang. Banyak peserta DFKL tahun-tahun lalu sudah mula berlakon dan semakin popular berlandaskan platform ini.

Mana tahu dengan kehadiran anda ke uji bakat itu bersama dengan bakat yang hebat, ditambah dengan rupa yang rupawan mampu boleh mengubah nasib keluarga anda. Kalau kita usaha. Insya-Allah. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Akhir sekali, jangan lupa undi Adik dan artis kesayangan kalian di laman sesawang DFKL! Terima kasih sokong Adik dan pasukan drama Dekatkan Jarak Kita.

Adik tengah pilih drama yang berkualiti untuk Adik lakonkan selepas ini. Doakan kerjaya Adik! Kita pilih kualiti, bukan kontroversi. #DuluLainSekarangLain
Diwarnai insan berjiwa besar Diwarnai insan berjiwa besar Reviewed by Kakigosip on 00:42:00 Rating: 5
Powered by Blogger.