'Di sini saya berkarya'

Nama komposer Rosli Selasih, 56, sememangnya tidak asing dalam kalangan penggiat seni tanah air.

Apatah lagi, Rosli berpengalaman luas dalam bidang muzik dan penciptaan lagu sejak era 1990-an lagi.

Antara lagu popular ciptaannya Cinta Untuk Nabila nyanyian kumpulan Melissa, Ngajat Tampi (Noraniza Idris), Terlena (Azman) dan Taat (Rohana Jalil).

Pun begitu, Rosli atau nama sebenarnya Rosli Md Kasa lebih selesa memilih kehidupan ‘low profile’.

Berkunjung ke kediamannya di Cheras, Rosli berkata, dia gemar meluangkan masa di rumah.

“Saya sangat selesa melakukan apa saja aktiviti berkaitan seni di rumah kerana memiliki studio sendiri.

“Dalam studio itu, boleh dijalankan proses rakaman lagu manakala ruangan di luar pula untuk kegunaan kelas vokal dan taklimat.

“Untuk perkhidmatan pula, saya menyediakan secara pakej A, B dan C, untuk dipilih pelanggan,” katanya.

Menurut Rosli lagi, bayaran ditetapkan juga sangat berpatutan mengikut pakej yang dipilih itu.

Bercerita mengenai studionya, Rosli berkata, ia dibina secara berperingkat sejak 18 tahun lalu.

Menurut Rosli, dia ambil inisiatif sendiri membina studio itu untuk memudahkannya terus berkarya.

“Apabila saya berada di rumah, banyak masa dihabiskan dalam studio untuk berkarya dan mencari ilham.

“Bagi saya, mencipta melodi lagu tidaklah begitu sukar. Tetapi menulis lirik yang indah itu satu cabaran,” katanya.

Kata Rosli, ilham untuk mendapatkan melodi lagu tidak mengira masa dan latar tempat tetapi lirik harus kreatif.

“Melodi dan lirik perlu seiring untuk mendapatkan hasil karya lagu yang berkualiti dan sedap didengar.

“Apapun, bagi saya tidak mudah menghasilkan lirik lagu untuk genre irama Malaysia atau tradisional.

“Pengalaman saya sendiri, masa berbulan diambil untuk menyiapkan lirik lagu Ngajat Tampi nyanyian Noraniza,” katanya.

Mengulas kos yang sudah dibelanjakan untuk kelengkapan alat muzik dalam studio itu, Rosli berkata, ia mencecah jumlah ratusan ribu ringgit.

“Semuanya saya buat sikit-sikit dan untuk menghitung jumlah keseluruhannya memang mencatat kos besar.

“Namun, saya puas kerana boleh terus berkarya dari rumah pada setiap masa. Itu lebih memudahkan,” katanya.

Menurut Rosli, yang pasti ketika bekerja di rumah dia banyak dibantu isterinya, Rozalini Mat Ghani, 44.
'Di sini saya berkarya' 'Di sini saya berkarya' Reviewed by Kakigosip on 00:36:00 Rating: 5
Powered by Blogger.