Definasi cinta Ferhad

Selepas program Gegar Vaganza 4 (GV4) melabuhkan tirai, tidak banyak cerita yang kita dengar mengenai penyanyi kelahiran Singapura, Ferhad.

Bagi mengubati kerinduan peminat, Ferhad kini kembali dengan single baru berjudul Definasi Cinta.

“Sebelum semua bertanya, memang saya dan komposer lagu ini, Dr Irma sengaja menggunakan Definasi dan bukan Definisi.

“Dalam nyanyian, sebutannya lebih mudah dan kena dengan ritma bila digabungkan dengan melodi. Apa yang pasti, maksudnya masih sama,” katanya.

Kali terakhir Ferhad muncul dengan single adalah pada 2014 menerusi lagu Ku Kata.

“Empat tahun adalah tempoh yang lama dan kerana itu ramai menganggap saya sudah bersara.

“Sebenarnya saya masih aktif dan kerap juga diundang menjayakan persembahan pada majlis tertutup dan acara korporat,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai single barunya itu, Ferhad masih mengekalkan identiti muziknya.

“Saya mengambil masa agak lama untuk mendapatkan lagu yang sesuai dan rasa bangga bila menyanyikannya.

“Saya tahu, muzik saya bukan jadi ikutan peminat masa kini dan akan ada yang menganggap saya ambil risiko kerana cuba menongkah arus.

“Namun, bagi saya akan lebih berisiko jika ikut trend dan jadi seperti penyanyi generasi baru,” katanya.

Sesuai dengan perkembangan teknologi, Ferhad akan menggunakan semua medium bagi memastikan lagunya mendapat tempat di hati pendengar.

“Media sosial antara medium promosi terbaik dan saya akan manfaatkannya. Selain itu, saya tetap akan menggunakan platform yang sudah biasa digunakan sebelum ini,” katanya.

Menurut Ferhad, dia sendiri melalui beberapa fasa peralihan daripada cakera padat kepada muat turun sehingga yang terbaru, penstriman online.

“Generasi baru tak lagi membeli album. Justeru itu, saya kena gunakan platform popular hari ini,” katanya yang akan muncul dengan beberapa single lagi tahun ini.

Selain itu, Ferhad juga mahu mengembangkan lagi kerjayanya dalam dunia penyiaran.

“Saya kini dalam perbincangan untuk menerbitkan program TV sendiri. Kalau semuanya berjalan lancar, saya akan maklumkan tidak lama lagi,” katanya.
Definasi cinta Ferhad Definasi cinta Ferhad Reviewed by Kakigosip on 17:23:00 Rating: 5
Powered by Blogger.