Datuk Rafiena Dedah Ada Artis Berperangai Diva Di Lokasi Penggambaran

SERING datang lambat, leka bercinta, tiada persediaan watak dan bersikap diva merupakan antara masalah disiplin yang sering berlaku dalam kalangan pelakon ketika di lokasi penggambaran.

Menurut penerbit drama dan filem, Datuk Rafiena Ezanee Ramli, 35, perangai dan sikap negatif itu sedikit sebanyak mengganggu perjalanan sesebuah projek filem atau drama yang diterbitkan.

"Masalah artis datang lambat itu sudah menjadi kebiasaan dan sudah menjadi hal normal. Ada juga artis yang sibuk bercinta, apabila ada isu dengan kekasih mulalah bawa masalah itu sampai ke set.

"Ada juga yang tak buat homework dan hasil lakonan yang diberi tidak seperti apa yang kita harapkan. Sedangkan kita dah bagi peluang kepada mereka untuk membuktikan bakat.



"Kalau ada artis berlagak diva, saya tak kisah jika dia betul-betul layak dilayan sedemikian rupa. Yang menjadi masalah hasil kerja tak seberapa, tapi berperangai seperti bintang popular," katanya.

Sementara itu, Rafiena berkata dia sentiasa menasihati pelakon bawah produksinya untuk menjaga amanah diberi kerana pelakon juga bekerja untuk mencari rezeki.

Ujarnya, industri hiburan di negara ini kecil dan jika mereka tidak menjaga disiplin akan memberi impak negatif kepada kerjaya seni masing-masing. Tambahan pula, ramai bakat baharu yang muncul ketika ini.

"Mereka kena ingat, jadi pelakon bukan sekadar untuk popular semata-mata. Sebaliknya mereka bekerja untuk mencari duit demi meneruskan kehidupan.


"Jika mereka tak jaga kelakuan dan disiplin, karier akan musnah dan sudahnya peluang untuk berlakon tiada lagi.

"Setiap hari akan muncul wajah baharu dan mereka mempunyai bakat serta kebolehan yang lebih hebat. Jika terus hanyut dengan keseronokan, tak kemana karier itu," katanya.

Dalam pada itu, dia turut menasihati golongan selebriti supaya bersikap profesional dan tidak membawa masalah peribadi ketika berada di set penggambaran.

Ujarnya, setiap manusia berdepan dengan dugaan hidup dan mereka haruslah bijak mengawal emosi jika berdepan dengan ujian.

"Apabila jejak sahaja kaki di set penggambaran, kita kena tinggalkan masalah tersebut dan fokus dengan kerja. Habis kerja, fikirlah semula masalah tersebut.


"Sejujurnya, saya sebagai penerbit ni lagi macam-macam fikirkan dalam otak tapi saya perlu kuat dan profesional kerana saya adalah ketua. Kalau saya lemah, lingkuplah produksi ini," katanya.

Sebelum ini Rafiena pernah membintangi beberapa buah drama dan filem antaranya Gerak Khas, Hati Yang Berbisik dan Wanita Dalam Pasungan.

Dia menubuhkan syarikat produksi Dark Wave Pictures pada tahun 2008.

Antara judul drama terbitan syarikat itu pada peringkat awal adalah Hijrah Catrina, Dendam Seorang Isteri, Di Garisan Takdir dan Lepaskan Aku Pergi, M.A.I.D, Jodoh Sebelah Pintu, Racun Menantu, Kubur Berdarah dan Tanggang Ayu.

Terkini, produksinya sedang menjalani penggambaran drama bersiri berjudul Air Mata Syurga lakonan Afiq Muiz, Tasha Shilla, Elly Suriati dan Haliza Misbun.



Datuk Rafiena Dedah Ada Artis Berperangai Diva Di Lokasi Penggambaran Datuk Rafiena Dedah Ada Artis Berperangai Diva Di Lokasi Penggambaran  Reviewed by Kakigosip on 06:08:00 Rating: 5
Powered by Blogger.