Dah lama pasang niat

Mula bertudung sejak 5 Oktober tahun lalu, hajat yang sekian lama dipendam itu akhirnya direalisasikan sempena hari lahirnya yang ke-29. Heroin filem Nasi Tangas, Adiba Yunus lega dan gembira dengan keputusan itu.

Adiba berkata, keputusan itu tidak dipengaruhi mana-mana pihak, sebaliknya ia datang ikhlas daripada hati. Timbul rasa bimbang sekiranya dia tidak berpeluang menginsafi kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Sebenarnya, sudah lama saya pasang niat untuk menutup aurat. Namun, ketika itu hati saya tidak cukup kuat. Apabila usia kian meningkat, saya tekad bertudung sempena ulang tahun ke-29.

“Tidak ada paksaan oleh sesiapa. Ia datang daripada hati saya sendiri. Saya gembira dan lebih tenang selepas bertudung. Ada baiknya bila sudah bertudung, saya tidak perlu lagi risau memikirkan dandanan rambut,” katanya.

Ada segelintir selebriti berdepan dugaan tawaran berkurangan andai menutup aurat. Bagaimanapun, Adiba bersyukur kerana rezeki dalam bidang itu tidak pernah putus.

Malahan, setiap watak yang diberikan kepadanya sesuai dengan imej barunya walaupun tawaran itu datang sebelum dia berhijab. Wanita itu juga lega kerana produksi dan pengarah boleh menerima perubahannya.

Sudah bergelar isteri kepada Hazwan As’ari pada 24 November 2017, Adiba bagaimanapun menegaskan bahawa keputusan menutup aurat itu tidak ada kaitan dengan perkahwinannya.

Akur dengan keterbatasannya untuk memuaskan hati setiap individu, Adiba tidak mahu pening kepala memikirkan komen negatif mana-mana netizen.

“Saya tidak dapat halang mereka meluahkan pendapat. Biarlah mereka cakap apa pun, yang tahu apa isi hati saya adalah diri sendiri. Saya tidak tahu kenapa isu bertudung sebab kahwin itu dilihat sebagai perkara negatif.

“Kalau pun betul saya bertudung sebab perkahwinan, adakah itu salah? Bertudungkan perkara yang baik. Saya berharap umum akan mendoakan saya agar terus istikamah.

“Hanya kerana saya bertudung beberapa minggu selepas bernikah, ia tidak bermakna saya bertudung kerana kahwin. Kalau tidak kahwin, saya tidak bertudung? Situasinya bukan begitu. Kahwin itu satu hal yang lain. Bertudung pula sudah lama saya pasang niat,” katanya.

Belum sempat berbulan madu, Adiba kini sibuk di lokasi penggambaran drama Andainya Takdir 2. Dia tidak terlalu memikirkan destinasi percutiannya dengan suami.

Namun, Adiba yang juga adik ipar kepada pelakon Johan As’ari itu berharap dapat menunaikan umrah dengan suaminya. Bagaimanapun, mereka masih berbincang mengenai perancangan itu.

“Saya tidak terlalu fikirkan destinasi bulan madu. Saya lebih suka kalau dapat menunaikan umrah dengan suami dan keluarga. Tapi, kalau suami bawa saya pergi bercuti dalam Malaysia pun, saya okey.

“Buat masa ini, saya mahu lepaskan dulu majlis resepsi pada 25 Februari ini. Kami gabung sekali resepsi kedua-dua pihak. Alhamdulillah, persiapan sudah selesai,” katanya.
Dah lama pasang niat Dah lama pasang niat Reviewed by Kakigosip on 00:33:00 Rating: 5
Powered by Blogger.