Dafi mahu kekal lama

Sedekad membina nama dalam karier seni bukanlah perkara mudah bagi penyanyi dan pelakon,

Dafi, 30.

Meskipun latar belakang keluarga berpengaruh, itu tidak dijadikan batu loncatan bagi membina karier.

Selepas menyertai Akademi Fantasia 5 (AF5) pada 2007, Dafi atau Gadaffi Ismail Sabri selesa bergerak sendiri.

Tanpa terkait sebarang gosip dan cerita sensasi, Dafi berusaha gigih mengatur langkah serta merancang hala tuju masa depannya.

Menurut Dafi, masa yang pantas berlalu membuatkan dia sendiri tidak menyangka dapat bertahan hingga kini.

“Biarpun ada yang mengaitkan saya boleh kekal bertahan kerana pengaruh bapa, saya tidak kisah semua itu.

“Cakaplah apa saja pun, saya tidak berkecil hati kerana tahu apa yang sudah dilalui dan semua itu pengalaman.

“Apa yang selalu saya fikirkan yang menjadi harapan setiap tahun ialah bagaimana mahu kekal relevan dalam industri.

“Saya sedaya-upaya meningkatkan usaha dalam pelbagai aspek untuk memastikan mampu kekal lama,” katanya.

Mengakui kemunculan bakat baru bersilih ganti yang tidak boleh disangkal, Dafi berkata, apa yang harus dilakukan adalah berusaha.

“Selain itu, saya juga pastikan terus bersikap merendah diri, tidak sombong, peramah dan mudah mesra.

“Bagi saya, sikap dan pembawakan diri juga memainkan peranan penting untuk memastikan diri terus diterima dalam industri hiburan,” katanya.

Pelakon yang melonjak dengan watak Jack dalam drama Dia Semanis Honey ini berkata, penampilan imej juga penting.

“Memandangkan kini saya sudah berusia 30 tahun, semestinya imej yang nak digayakan perlu matang.

“Jadi, seiringlah usia dan penampilan. Oleh itu, saya perlu bijak dalam memilih pakaian sesuai untuk digayakan,” katanya.

Mengulas mengenai karier seninya, Dafi berkata, dia tetap aktif menyanyi dan berlakon selagi mendapat peluang.

“Jika tiada aral, saya akan membintangi satu drama baru tidak lama lagi dan penggambaran dijangka pada Mac ini.

“Begitu juga bidang nyanyian, saya dalam perancangan mencari single baru untuk dirakamkan buat peminat.

“Cuma, untuk karier nyanyian, saya lebih selesa merancang dengan tenang dan tidak terburu-buru. Ia agak mudah,” katanya.

Menurut Dafi, dia kini giat mencari peluang untuk beraksi dalam pementasan teater di Istana Budaya (IB).

“Saya mengharapkan semoga dapat peluang lagi untuk beraksi dalam teater seperti Dia Semanis Honey The Musical, tahun lalu.

“Ia pengalaman yang sangat menyeronokkan buat saya dan hingga kini memang inginkan peluang berlakon teater,” katanya.

Selain karier seni, Dafi juga sibuk menguruskan perniagaan syarikat pengurusan bakat dan penganjuran acara miliknya, Laugh Out Loud (LOL) Entertainment.

Katanya, sudah lapan tahun syarikat itu beroperasi dan hingga kini jumlah selebriti diuruskan semakin bertambah.

Antara selebriti yang bernaung di bawah pengurusan LOL Entertainment ialah Rozita Che Wan, Zain Saidin, Aaisyah Dhia Rana, Jihan Muse, Janna Nick dan Fikry Ibrahim.
Dafi mahu kekal lama Dafi mahu kekal lama Reviewed by Kakigosip on 06:49:00 Rating: 5
Powered by Blogger.