Cuma satu saya minta...: Elyana

SELEPAS membuat pengakuan tentang status kesihatannya yang sedang menghidap Kanser Limfoma tahap empat, penyanyi Elyana mengharapkan agar peminat dan mereka yang berada di sekeliling, memahami keadaannya.

Ternyata ramai yang begitu mengambil berat tentang keadaan diri, malah turut mendoakan yang terbaik.

Namun semenjak akhir-akhir ini, Elyana dilihat kerap meluahkan rasa terkilan dengan sikap segelintir netizen yang mempersoalkan tentang situasi status kesihatannya.

Terbaru, Elyana menerusi Insta Story (Instagram) miliknya semalam, sekali lagi berkongsi tentang perkara tersebut.

Jelas ada nada kecewa pada luahan tersebut, meluahkan perasaan yang dilaluinya saat ini.

“Ramai yang tanya saya, kenapa saya tak nampak sakit? Pelik... diorang kata. Jawapan saya, sebab saya tak nak orang nampak saya sakit.

“Menyembunyikan kesakitan sebenarnya lebih pedih dari sakit. Jadi, hargailah perasaan manusia kerana kita tidak tahu apa yang mereka sedang perjuangkan dan sembunyikan untuk menghibur orang sekeliling,” luahnya.

Penyanyi Kalis Rindu ini juga menegaskan, dia tidak pernah meminta simpati daripada sesiapa dan sudah biasa ‘berjuang’ sendiri.

“Bukan senang untuk menghiburkan orang ramai. Cuba anda jadi saya. Saya sayang anda semua. Pelik kan... tak pernah jumpa pun sayang..

“Terimalah sayang saya ni. Saya tak minta apa-apa balasan pun, jauh lagi minta simpati. Saya 'OK' berjuang sendiri. Dah biasa dari dulu,” tulisnya lagi.

Bagaimanapun Elyana yang kelihatan sentiasa ceria dan positif ini meminta agar orang ramai mendoakan yang terbaik untuk kebaikan semua.

“Cuma satu saya minta, tolong doakan yang baik-baik untuk kita semua. Dan, jagalah hati dan perasaan sesama manusia,” akhirinya penuh makna.

Ada benarnya apa yang diperkatakan Elyana. Orang di luar sana tidak pernah tahu apa yang dilaluinya sebagai pesakit Kanser Limfoma tahap empat.
Cuma satu saya minta...: Elyana Cuma satu saya minta...: Elyana Reviewed by Kakigosip on 06:17:00 Rating: 5
Powered by Blogger.