Cukup kata Sajat

USAHAWAN kosmetik dan penyanyi, Nur Sajat Kamaruzzaman berharap semua pihak menghormati privasi dan tiada pihak campur tangan mengenai keraguan identiti sebenar dirinya.

Sajat berkata, dia sudah mendedahkan jantinanya dan memberikan sepenuh komitmen terhadap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pendedahan itu dibuat pada pertemuan pertama antara dia dan kedua ibu bapanya dengan Penolong Pengarah Kanan Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti Jakim, Dr Mohd Izwan Md Yusof di Wisma Nur Sajat di Shah Alam, 16 Januari lalu.

"Saya sudah memberikan kerjasama yang baik dan menjelaskan identiti sebenar saya kepada Dr Izwan dalam pertemuan yang diatur kali pertama.

"Ibu bapa saya juga sudah memberi keterangan dan menjawab segala persoalan mengenai identiti saya kepada dia. Saya mohon tiada lagi pihak cuba mengeruhkan keadaan.

“Berilah saya ruang untuk fokus terhadap perniagaan yang diusahakan. Saya tidak mahu publisiti murahan ini," katanya.

Menurut Sajat, dia enggan mengulas lanjut mengenai 'identiti' yang didakwa didedahkannya kepada Jakim tempoh hari.

"Saya tidak pernah berubah. Saya masih Sajat yang sama. Semuanya sudah saya kongsikan dengan wakil JAKIM," katanya.

Terdahulu, menerusi sebuah laporan Mohd Izwan mendakwa telah ‘dihalang’ oleh orang ketiga di pihak Sajat untuk meneruskan prosedur bagi mengesahkan identiti sebenar usahawan kosmetik itu.

Bagaimanapun, Mohd Izwan yang juga pakar dalam menangani lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) Jakim berkata, pihaknya tetap komited meneruskan proses untuk mendapatkan pengesahan identiti sebenar usahawan itu bagi menjawab persoalan masyarakat.

Ditanya mengenai dakwaan membabitkan pihak ketiga itu, Sajat enggan memberikan komen lanjut kerana tidak mahu dirinya terus menjadi perhatian umum ketika ini.

"Maaf. Saya tidak mahu komen lanjut. Cukuplah saya sudah memberikan kerjasama yang baik dengan Jakim.

"Malah kami juga sudah menjalin persetujuan. Biarlah apa yang dibincangkan hanya kami saja yang tahu," katanya.

Bulan lalu, Jakim menemui jalan penyelesaian dalam mendapatkan pengesahan mengenai identiti sebenar Sajat selepas mengadakan pertemuan dengan usahawan kosmetik itu di Wisma Nur Sajat di Shah Alam.

Mohd Izwan kemudian dalam satu kenyataan pada 19 Januari lalu berkata, Jakim bersetuju beberapa proses perlu dilalui oleh Sajat untuk pengesahan identitinya secara rasmi dan dijangkakan tempoh sebulan paling minimum.
Cukup kata Sajat Cukup kata Sajat Reviewed by Kakigosip on 13:49:00 Rating: 5
Powered by Blogger.