Cari bunyian baru

Bukan mudah menarik minat bangsa luar menggemari muzik Malaysia. Berbeza pula dengan rakyat negara ini yang majoritinya terbuka menerima muzik luar.

Namun, jika ada orang luar menaruh minat terhadap muzik kita, menjadi tanggungjawab anak bangsa memastikan karya yang dipertaruhkan itu sesuatu yang luar biasa buat mereka.

Itu yang dilakukan pemuzik tradisional popular Kamrulbahri Hussin, 40, atau Kamrul.

Selama tiga hari sejak Isnin lalu, Kamrul dan beberapa penggiat muzik tempatan berpeluang berkongsi pengalaman dan ilmu dalam Bengkel Kolaborasi Perkusi Asia bersama beberapa pemuzik Jepun yang sanggup berkampung di Kampung Jijan, Nilai, Negeri Sembilan.

“Mereka mengenali muzik tradisional Melayu selepas membeli album Geng Wak Long yang dijual di Tokyo sejak 2013. Daripada album itu, mereka mahu tahu lebih lanjut budaya kita terutama dari Kelantan.

“Disebabkan itu, mereka menghubungi saya kerana mahu berkolaborasi. Mereka ke sini untuk mencari bunyian baru yang boleh diketengahkan dalam album mereka,” katanya.

Kumpulan muzik dari Jepun yang dikenali sebagai Sundrum itu terdiri daripada seorang penyanyi, dua pemuzik dan dua penari.

Kata anak jati Pasir Mas itu, mereka bukan saja mempelajari bunyian muzik tradisional Melayu, malah belajar gerak silat tempatan, tarian piring dan gendang makyung.

Kebetulan pula Amir Percussion, sebuah lagi kumpulan muzik perkusi tempatan turut terbabit dalam kolaborasi ini.

Amir Percussion yang dikenali dengan bakat menghasilkan alat muzik sendiri berkongsi ilmu berkaitan kemahiran mereka.

“Sebenarnya bengkel ini juga anjuran Fakulti Muzik Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kerjasama Amir Percussion, JKKK Kampung Jijan, Persatuan Silat Chakarla Jijan dan penduduk kampung.

“Ada lima pelajar UiTM, 25 kanak-kanak dan remaja berusia lima hingga belasan tahun serta lebih 300 penduduk kampung memeriahkan malam kemuncak pada Rabu lalu,” kata Kamrul.

Menerusi kejayaan kolaborasi itu, Kamrul merancang untuk ke Universiti Trent Nottingham, United Kingdom (UK) pada 17 hingga 24 Mac depan.

Biarpun tarikh dan lokasi sudah disahkan, pihaknya masih mengharapkan tajaan daripada syarikat atau individu bagi menampung perbelanjaan mereka di sana.

“Saya bercadang membawa sekurang-kurangnya dua pelajar dari fakulti muzik ke sana (UK). Kalau ada lebih tajaan, boleh bawa ramai sikit pelajar kita ke sana,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai albumnya yang menembusi pasaran Jepun, Kamrul berkata setiap tahun lebih 2,000 salinan dihantar ke negara itu berikutan ada permintaan.

“Syukur, semakin ramai yang tahu dan mereka masih mencari. Pemuzik di Jepun mencari muzik Malaysia yang ‘authentic’ seperti makyung dan dikir barat kerana ia melambangkan identiti kita.

“Dengan adanya program kolaborasi ini, ia banyak membantu perkenalkan muzik Melayu. Bengkel ini akan sentiasa difikirkan dari semasa ke semasa bagi memberi pendedahan kepada pelajar secara terus,” katanya.

Ia juga bertujuan membuka mata golongan muda untuk kenal pasti tokoh seni dan perkampu­ngan komuniti yang holistik dalam bidang muzik perkusi sama ada di Malaysia mahu pun luar negara.

Sekali gus ia dapat mendedahkan pelajar mengenai ‘Edu-Cultural-Tourism’ serta menguatkan lagi kemahiran keusahawanan dalam bidang berkaitan seni muzik.

Projek lain, selain ke UK pada Mac depan, dia juga sudah memulakan pengajaran pengkhususan alat muzik utama pergendangan Melayu seperti rebab, serunai dan gambus Melayu di Fakulti Muzik UiTM.
Cari bunyian baru Cari bunyian baru Reviewed by Kakigosip on 00:35:00 Rating: 5
Powered by Blogger.