Cabaran bawa Cahaya Juara

Penyanyi Nabila Razali bertuah apabila dipilih menyanyikan lagu tema filem biografi jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berjudul Cahaya Juara.

Walaupun lagu itu akan diterbitkan dalam versi bahasa Melayu dan Inggeris, Nabila turut dikehendaki menyanyi beberapa baris lirik dalam bahasa Mandarin.

“Lagu ini sangat mencabar kerana memerlukan saya nyanyi dalam bahasa Mandarin buat pertama kali,” katanya.

Turut bergandingan dengan Nabila adalah selebriti popular media sosial, Priscilla Abby.

Menurut penyanyi berusia 25 tahun itu, rakaman Cahaya Juara baru saja dilakukan Selasa lalu.

“Terima kasih beri peluang ini. Saya teruja dan bangga kerana terpilih menyanyikan lagu tema filem ini,” katanya.

Sementara itu Priscilla memberitahu sudah merakam lagu itu di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

“Pengalaman itu sukar dilupakan. Saya perlu cepat menyelesaikan urusan kerana hanya berada di Bangkok untuk sehari,” katanya.

Bagi anak jati Sarawak ini, kepercayaan diberikan untuk menyanyikan lagu Cahaya Juara peluang baik untuk dia lebih dikenali dalam industri muzik tanah air.

Dalam pada itu, Nabila dan Priscilla bakal mempersembahkan Cahaya Juara buat pertama kalinya pada majlis tayangan perdana filem berdurasi 133 minit itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 9 Mac ini.

Tayangan filem arahan Teng Bee itu dijangka dihadiri 20,000 penonton dan ditayangkan menggunakan layar gergasi LED 40 X 17 meter.

Acara itu sekali gus menjadi tayangan perdana terbesar di Asia dan akan dicatatkan dalam Malaysia Book of Records dan Asia Book of Records.

Antara barisan pelakon membintangi dalam filem itu adalah Datuk Rosyam Nor, Jake Eng, Ahsley Hua dan Agnes Lim.
Cabaran bawa Cahaya Juara Cabaran bawa Cahaya Juara Reviewed by Kakigosip on 05:43:00 Rating: 5
Powered by Blogger.