Bangkit rasa cinta ibu kota

Cinta mampu menyatukan dua dunia berbeza. Melalui cinta juga, kasih sayang antara manusia dengan alam juga mampu dibangkitkan.

Begitulah niat pengarah, Dain Said saat dilantik sebagai pengurus Kota Cities of Love Malaysia, Khamis lalu.

Pengarah filem hebat Bunohan dan Interchange ini berkata, ia satu inisiatif untuk membangkitkan semangat tempatan dan membuatkan rasa cinta dengan ibu kota kebanggaan.

“Menggunakan judul Kuala Lumpur (KL), I Love You, ia adalah sebahagian daripada francais filem global Cities of Love yang bermula dengan filem kolektif Paris, Je T’aime dan New York, I Love You.

“Sejak dimulakan pada 2006, Cities of Love sudah berkembang menjadi sebuah gerakan komuniti global di lebih daripada 20 kota dan jumlah itu semakin meningkat,” katanya.

Lebih menarik minat adalah Kuala Lumpur menjadi kota ke-20 memasuki senarai dan pertama di Asia Tenggara.

Usaha itu bermula ketika dia bertemu pasukan Cities of Love pada tayangan khas filem Bunohan di Taipei, Taiwan sekitar 2013.

Pada pertemuan itu, mereka bertemu Dain untuk berbincang sekali gus mencadangkan namanya untuk mengetuai projek itu di Asia.

Katanya, Cities of Love dilancarkan sebagai satu jalan untuk menyatukan penduduk setempat dengan niat membina sebuah komuniti yang mampu melestarikan dan mencintai tempat asal mereka.

Dia berharap dengan inisiatif ini dapat menghasilkan perubahan positif terhadap Kuala Lumpur.

Menurutnya, melalui seni penceritaan, KL, I Love You dengan positif mahu menonjolkan pelbagai aspek yang mewarnai pengalaman kolektif di sini.

“Ia termasuk ruang urbannya, migrasi dan pergerakan penduduk, perbezaan dan kepelbagaian, sejarah dan memori, ketaasuban kita pada hal ghaib dan tahyul, kisah cinta, golongan belia dan kewangan, pekerjaan dan perdagangan,” katanya.

Ketika ditemui pada pelancaran projek itu di ibu kota, Khamis lalu, Dain berkata, projek ini juga susulan Forum Bandar Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebelum ini.

Katanya, sembilan teras utama projek itu berkait rapat dengan Agenda Urban Baru PBB yang dibincangkan dalam forum itu.

Dain berkata, inisiatifnya adalah untuk menyatukan semua hasil kerja kreatif bagi menceritakan pelbagai kisah menerusi pelbagai medium media dan acara.

Ia juga tidak terhad kepada bekerjasama dengan jenama terkenal, rakan kongsi atau pihak berkepentingan.

“KL, I Love You mahu menggalakkan penyertaan semua individu dan kumpulan yang berminat menjadikan KL, sebuah kota raya lebih baik.

“Daripada media tradisional sehinggalah artis, arkitek dan pereka, KL, I Love You mahu bekerjasama dengan terbaik untuk ceritakan kisah mereka,” katanya.

Bukan saja diterjemahkan melalui karya filem pendek, masyarakat juga diseru terjemahkan rasa cinta mereka melalui tarian, lukisan, cetakan, ukiran, puisi atau apa saja bentuk ekspresi berkaitan.

Kemuncak kepada projek ini adalah penerbitan sebuah filem antologi KL, I Love You sebelum penghujung 2019.

“Saya sasarkan projek ini akan selesai dalam tempoh dua tahun. Selepas itu, terpulang pula kepada bandar besar di seluruh Malaysia untuk menyertainya.

“Edisi Kuala Lumpur ini akan menyertai barisan filem Cities of Love yang berlatar belakangkan bandar lain seperti Shanghai (China), Berlin (Jerman), Malmo (Sweden) dan Rotterdam (Belanda),” katanya.

Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai projek ini boleh melayari laman sesawang www.kliloveyou.com.
Bangkit rasa cinta ibu kota Bangkit rasa cinta ibu kota Reviewed by Kakigosip on 00:44:00 Rating: 5
Powered by Blogger.