Altimet nekad bersara, tanda dari ALLAH

KOMPOSER dan penyanyi rap popular, Altimet mengakui tidak akan menyertai pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL), selepas ini.

Pengumuman itu dibuat oleh pemilik nama sebenar, Ahmad Abdul Rahman ini menerusi laman Instagramnya (IG).

"Alhamdulillah. Segala pujian kepada ALLAH SWT. Empat kali bertanding, #ajl32 #ajl30 #ajl28 #ajl26.

"Cukuplah itu, semalam saya labuhkan tirai penglibatan saya membuat persembahan di Anugerah Juara Lagu," tulisnya.

Terbaru, Altimet mempertaruhkan lagu Amboi ciptaan Navigator di AJL32 yang membolehkannya memenangi kategori Persembahan Terbaik.

Sebelum ini, pelakon teater Ola Bola The Musical ini tampil dengan lagu Kalau Berpacaran berganding dengan Ana Raffali dan Suhaimi Mior Hassan pada AJL 26, diikuti Kalau Aku Kaya bersama Awi Rafael (AJL 28) dan Not For Sale dengan Stacy (AJL 30).

Meskipun kerap bertanding, Altimet bagaimanapun nekad mengundurkan diri sekali gus memberi peluang kepada penyanyi rap lain.

"Masih tiada rappers yang bertanding dlm AJL sebanyak saya. Saya kata ini bukan kerana riak, tapi kerana ini tanda dari ALLAH kepada saya untuk mengundurkan diri, membuka jalan untuk yang lain.

"Saya doakan nanti ada seorang atau sekumpulan rappers yang akan pecahkan record saya ini," doanya.

Malah, Altimet turut berterima kasih kepada semua terutama ibunya, Jamalah Agil Alsagoff yang mendoakan kejayaannya di malam AJL32.

"Terimalah kasih semua yang mengundi, dan semua yang menyanyi bersama.

"Terimalah kasih kawan kawan yang menjayakan persembahan ini. Ini bukan usaha saya seorang. Jauh sekali.

"Terima kasih kepada ibu saya yang sentiasa mendoakan kejayaan semua anak-anaknya. Kami belajar berkerja keras dan mengejar mimpi kami dari Mama. Peace," tulisnya lagi.

Sebelum ini, Altimet mengumumkan bakal  bersara dari dunia seni bersempena ulang tahun kelahirannya ke-40 pada 27 November depan.

Bagaimanapun, Altimet tidak akan berhenti dari terus menulis dan menghasilkan lagu untuk penyanyi lain kerana itu adalah minatnya.

Malah, Altimet juga bakal mengeluarkan dua  album terakhir sebelum persaraannya kelak.

"P/s..bulan tiga kita layan album baru ok?!," katanya sambil disertai #amboiamboiamboi #amboi.
Altimet nekad bersara, tanda dari ALLAH Altimet nekad bersara, tanda dari ALLAH Reviewed by Kakigosip on 06:02:00 Rating: 5
Powered by Blogger.