Allahyarham Azmil seorang yang bekerja keras

ALLAHYARHAM Azmil Mustapha atau lebih dikenali sebagai Ali Setan disifatkan sebagai seorang insan yang bekerja keras sepanjang penglibatan beliau dalam karier lakonan.

Penasihat Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali yang juga merupakan sahabat baik kepada allahyarham berkata, Azmil sentiasa menunjukkan kesungguhan dalam melakukan sesuatu perkara dan nama beliau semakin dikenali selepas membintangi filem Ali Setan.

"Ketika waktu itu, allahyarham memang rapat dengan saya kerana saya bertugas sebagai pembantu penerbit bagi filem itu.

"Dan memang saya lihat beliau begitu bekerja keras sehinggakan filem ini berjaya mendapat box office pada waktu itu.

"Lantaran kejayaan itu, beliau kemudiannya membintangi filem Suara Kekasih dan turut menjadi pengarah bagi filem Ali Setan 2," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut mengenai pemergian pelakon era 1980an itu, Abdul Jalil berkata, beliau amat terkejut menerima berita tersebut memandangkan allahyarham baru sahaja mengunjunginya di pejabat baru-baru ini.

Menurut Abdul Jalil, ketika pertemuan itu, allahyarham tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda sakit atau tidak sihat.

"Saya amat terkejut dengan berita ini kerana saya juga telah kehilangan seorang rakan baik," katanya.

Allahyarham Azmil menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam  12.40 tengah hari tadi di rumahnya di Seksyen 9, Shah Alam pada usia 64 tahun akibat komplikasi jantung.

Jenazah allahyarham dibawa ke Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz, Shah Alam untuk urusan serta solat jenazah sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam.
Allahyarham Azmil seorang yang bekerja keras Allahyarham Azmil seorang yang bekerja keras Reviewed by Kakigosip on 05:53:00 Rating: 5
Powered by Blogger.