2018 bawa tuah buat Mei Fen

SEBELUM bergelar pelajar di Aswara, anak kelahiran Pulau Pinang ini telah pun aktif dalam dunia lakonan komersial menerusi beberapa buah filem dan drama berbahasa Cina.

Namun, sepanjang tiga tahun menyambung pengajian, MeiFen terpaksa melupakan seketika kerjayanya itu sehinggalah baru-baru ini, ditawarkan membintangi filem Prebet Sapu yang menyaksikan gandingannya dengan pelakon hebat, Amerul Affendi.

“Sebenarnya penglibatan saya dalam filem ini berlaku secara kebetulan apabila saya dan pengarah filem ini, Muzammir, saling berkongsi cerita tentang karya masing-masing sehingga dia berasa tertarik dengan kisah saya sebagai budak Cina yang baru masuk dunia Melayu itu.

“Saya sangat teruja kerana ini merupakan kali pertama terlibat dengan filem Melayu, apatah lagi digandingkan dengan Amerul yang semua orang tahu kehebatannya sebagai seorang pelakon.

“Jujurnya ia pengalaman cukup berbeza buat saya sebab sebelum ini hanya bekerja dengan produksi Cina sahaja,” katanya yang akan kembali ke lokasi penggambaran pada awal Mac ini.

Mengulas pengalamannya berlakon bersama Amerul, kata Mei, pelakon yang mencuri perhatian menerusi watak Mat Yam dalam Polis Evo itu seorang sangat hebat, bukan sahaja kerana lakonannya, tetapi juga sikap dan semangat suka membantu yang ada pada dirinya.

“Memang sebelum ini saya sudah banyak berlakon, tetapi tentulah tidak sehebat dia. Rasa kerdil sangat, malah cukup gementar pada hari-hari awal penggambaran.

“Tapi bila lama-lama saya mula rasa selesa kerana dia seorang aktor yang tidak mementingkan diri sendiri, dan mahu bagus bersama-sama dengan rakan gandingan dan semua mereka yang terlibat dalam team.

“Saya rasa sangat seronok dan puas berlakon dalam filem ini. Bukan kerana lakonan saya sangat bagus, tetapi lebih kepada pengalaman yang dilalui sepanjang buat filem ini yang bagi saya sangat bermakna dan tidak pernah diperoleh sebelum ini,” kata bintang filem The Cage ini lagi.

Rai Tahun Baharu Cina di Pulau Pinang
Bercerita tentang sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal diraikan Jumaat ini, MeiFen mengakui belum sempat membuat sebarang persiapan kerana sibuk memberi tumpuan kepada penulisan tesisnya.

“Tahun ini memang saya tak sempat buat persiapan apa pun sebab sibuk dengan pementasan Tanah Akhirku untuk persembahan PeTA dan kemudian terus sambung tesis yang secara kebetulannya ‘ngam-ngam’ dengan Tahun Baharu Cina.


“Selama beberapa tahun ini, saya dan keluarga menyambut tahun baharu dengan sederhana sahaja melibatkan keluarga kecil kami, di mana aktivitinya hanya tertumpu kepada makan besar pada malam tahun baharu dan selebihnya kita duduk rumah saja.

“Jadi tahun ini, selepas satu atau dua hari sambut di Pulau Pinang, saya mahu bawa ibu dan ayah datang KL untuk raikan tahun baharu bersama rakan-rakan lain di sini yang selalunya lebih meriah dengan pelbagai aktiviti,” ujar anak sulung daripada empat adik-beradik ini.

Ujar MeiFen lagi, selepas datuk dan neneknya meninggal dunia, sambutan tahun baharu mereka sekeluarga menjadi sangat berbeza dan tidak semeriah sebagaimana zaman kecilnya.

“Dulu masa kecil sambutan tahun baru dilakukan secara besar-besaran dan kami pernah mengumpulkan hampir kesemua ahli keluarga untuk duduk bersama-sama pada malam makan besar di rumah datuk saya atau tempah restoran di luar.

“Mercun mesti ada, tarian naga dan pelbagai aktiviti disediakan datuk dan nenek membuatkan ahli keluarga yang duduk jauh di luar negara pun akan berusaha balik untuk berkumpul ramai-ramai.

“Sekarang bila orang paling tua dalam keluarga sudah tiada, masing-masing sudah jarang balik dan menyambut tahun baru dengan aktiviti sendiri sahaja,” katanya yang mengakui rindu dengan suasana tersebut.
2018 bawa tuah buat Mei Fen 2018 bawa tuah buat Mei Fen Reviewed by Kakigosip on 22:34:00 Rating: 5
Powered by Blogger.