Ziha seronok urus bayi

Tiada apa yang lebih membahagiakan seorang wanita selain memiliki keluarga sendiri.

Itulah yang dirasakan bintang Akademi Fantasia 2014 (AF 2014) Nor Aziha Md Salleh atau Ziha, 23, yang kini bergelar ibu.

Ziha mendirikan rumah tangga bersama Zarul Hafis Zarak Kamal, 31, pada Oktober 2016 dan pada 13 Disember lalu, dia selamat melahirkan bayi lelaki.

Menurut wanita kelahiran Johor ini, dia berasakan kehidupannya sudah lengkap sebagai isteri dan ibu.

“Kini, saya sudah biasa menyesuaikan diri dengan rutin kehidupan seorang ibu untuk menguruskan anak.

“Tidak dinafikan, pada awalnya selepas melahirkan anak, saya kekok tetapi kini sangat seronok.

“Jadual harian juga makin teratur dan pengurusan masa pula sangat disiplin terutama waktu tidur. Kalau sebelum ada anak mungkin liat untuk bangun pagi, tetapi sekarang tiada masalah lagi,” katanya.

Berbicara lanjut mengenai kelahiran anaknya, Ziha berkata, dia bersalin secara normal dan berat bayi pula 2.8 kilogram.

“Syukur, proses kelahiran dipermudahkan Allah SWT dan menariknya saya sempat meraikan sambutan ulang tahun kelahiran.

“Saya dilahirkan pada 12 Disember 1994 dan anak saya pula 13 Disember 2017, jadi ia adalah hadiah sangat bermakna.

“Bergelar ibu adalah pengalaman hidup paling indah saya rasakan sekarang. Banyak perkara baru dipelajari,” katanya.

Memilih menjaga anaknya sendiri, Ziha yang aktif dalam bidang lakonan selepas AF 2014 berkata, dia mengambil keputusan berehat seketika.

Menurutnya, memandangkan bayinya menyusu badan maka lebih baik jika dia menjaga sendiri.

“Menjaga sendiri bagi saya lebih selesa dan yakin. Apatah lagi, sangat seronok dan menenangkan.

“Walaupun suami tidak menghalang saya untuk teruskan karier seni, inilah pengorbanan buat anak kami.

“Ditambah, ibu saya ada membantu. Jadi, sekarang saya giat menimba ilmu daripada ibu dalam urusan menjaga anak,” katanya.

Ditanya mengenai nama dan foto bayinya, Ziha berkata, dia dan suami belum bersedia untuk kongsikannya.

“Saya kini masih dalam pantang lagi. Jadi, biarlah ia dirahsiakan dulu kerana itu lebih baik. Sampai masa sesuai iaitu majlis cukur jambul dan akikah dibuat baru saya akan memberitahu nama dan berkongsi foto bayi kami,” katanya.

Mengulas mengenai single solonya, Takkah Ini Cinta ciptaan Ajai dan lirik ditulis AD Samad yang dilancarkan ketika hamil, Ziha berkata, dia akan meneruskan promosi.

“Segala-galanya akan saya rancang semula selepas habis pantang. Apapun, komitmen anak adalah utama.

“Dalam soal promosi single Takkah Ini Cinta, saya mungkin fokus terhadap platform digital dan laman sosial,” katanya.
Ziha seronok urus bayi Ziha seronok urus bayi  Reviewed by Kakigosip on 06:17:00 Rating: 5
Powered by Blogger.