Wany lihat dari sudut positif

Kemunculan penyanyi popular Wany Hasrita dalam program realiti lawak Bintang Bersama Bintang 2018 (BBB) yang bersiaran di TV3, Ahad lalu mendapat perhatian ramai.

Pada minggu pertama itu, Wany menjadi juri jemputan di samping juri tetap iaitu pelawak terkenal Saiful Apek.

Walaupun ada segelintir pihak yang mengkritik pemilihannya sebagai juri, Wany lebih suka melihat dari sudut positif.

“Saya ditawarkan selaku juri jemputan selepas persetujuan dengan syarikat rakaman. Saya juga memberanikan diri untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.

“Secara kebetulan, saya juga ada kelapangan ketika diberikan jadual untuk terbabit dalam program itu.

“Sudah pasti ada pihak yang mengkritik. Namun, mulut orang kita tidak boleh tutup dan saya hanya pekakkan telinga saja,” katanya.

Berkongsi mengenai program itu, Wany berkata, banyak ilmu yang ditimbanya sebagai juri jemputan dalam program itu.

“Saya juga bertanya pendapat abang Saiful Apek mengenai program ini. Menurutnya, saya hanya perlu berhibur pada minggu pertama BBB dan tidak banyak yang saya boleh komen pada aspek persembahan peserta.

“Saya juga berasa rendah diri untuk mengulas persembahan peserta yang sudah ‘otai’ dan sangat berpengalaman dalam bidang seni,” katanya.


BERSAMA Saiful Apek yang juga juri tetap Bintang Bersama Bintang 2018.
Antara peserta yang bertanding ialah Abam, Ajak, Issey, Mark Adam, Achey dan Shuk.

Diminta komen mengenai program itu, kata Wany, program itu lebih kepada mencari seorang penghibur dan bukan mencari pelawak saja.

“Ada sebahagian dalam program lawak ini diselitkan dengan persembahan nyanyian. Saya juga banyak menonton program lawak yang membabitkan komen juri di YouTube.

“Saya juga suka menonton persembahan secara langsung kerana persembahan sedemikian membuktikan bakat sebenar seseorang penghibur itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Wany baru saja muncul dengan single keduanya berjudul Rintihan Rindu.

“Alhamdulillah, single kedua juga mendapat sambutan ramai. Saya juga akan keluar dengan album mini album dalam masa terdekat ini.

“Ia memuatkan lima lagu dan salah satu adalah lagu tradisional ciptaan komposer terkenal Pak Ngah,”katanya.
Wany lihat dari sudut positif Wany lihat dari sudut positif  Reviewed by Kakigosip on 06:05:00 Rating: 5
Powered by Blogger.